Kanak-kanak hanyut ditemui lemas


KANAK-KANAK
lelaki yang hilang dihanyutkan arus selepas dipercayai tergelincir kedalam sebuah sungai di Rawang kelmarin ditemui lemas.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, mayat kanak-kanak berusia 11 tahun itu ditemui lima kilometer dari lokasi mangsa tergelincir.

“Saya telah mendapat pengesahan daripada pegawai di lokasi mayat mangsa ditemui di sungai Guntung pagi tadi.

"Mayat akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada jam 4 petang kelmarin, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai insiden itu.

Kanak-kanak itu dipercayai bermain di tepi longkang sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus deras Sungai Bakau berhampiran Apartmen Rajawali.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Daerah Gombak, Samsol Maarif Saibani memaklumkan mayat kanak-kanak itu ditemui orang awam.

“Seorang saksi memaklumkan ketika dia dalam perjalanan ke ladangnya telah menemui mayat kanak-kanak itu di dalam sungai kira-kira 8 pagi,” katanya.

Sebelum ini seramai 40 anggota dan pegawai Bomba dan Penyelamat Malaysia termasuk Unit Anjing Pengesan dan Pasukan Penyelamat di Air serta polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pada hari ketiga.

Penduduk setempat turut membantu mencari kanak-kanak itu disepanjang sungai dimana mangsa dihanyutkan.

Post a comment

0 Comments