KEADILAN S'wak tak mati dibunuh 'pengkhianat'


PARTI
Keadilan Sarawak (KEADILAN) Sarawak tidak akan terkubur kerana pengkhianatan besar-besaran dalam parti itu baru-baru ini.

Sebaliknya tegas Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh, parti berbilang bangsa itu akan lebih kuat dan berkembang pada masa akan datang.

Jelasnya, parti itu disenangi rakyat kerana pendirian lantang menegur dan mengkritik salah laku yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini.

“Kehilangan wakil-wakil rakyat adalah fenomena biasa, sama ada mereka kalah dalam pilihan raya, tidak dipilih semula untuk bertanding atau dipecat atau yang lebih teruk lagi ialah kes-kes melompat dan segelintir ahli parti yang melompat atau dipecat.

"Saya melihat itu adalah norma biasa dalam sesebuah parti politik dan tidak perlu digusarkan,” tambahnya sambil menegaskan bahawa parti itu telah memainkan peranan amat aktif dalam politik tempatan dan kebangsaan sejak 20 tahun lalu.

“Sebagai sebuah parti yang berperlembagaan, parti ini telah melalui kemajuan yang sangat menggalakkan, daripada hanya mempunyai seorang wakil rakyat bermula 2006, telah meningkat dari semasa ke semasa," tambahnya.

Keyakinan itu disuarkan susulan kenyataan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini yang berkata KEADILAN di Sarawak akan berkubur susulan tindakan Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang mengumumkan keluar dari parti tersebut.

Sebagai rekod, Jugah bertandings ebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, beliau mengumumkan menyertai KEADILAN sejurus Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih pemerintahan persekutuan.

Pada 5 Jun lalu, Jugah sekali lagi melompat parti dengan pengumuman keluar dari KEADILAN bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang merampas mandat rakyat melalui 'Langkah Sheraton' pada Mac lalu.

Sementara itu, Abang Zulkifli lagi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)  yang dianggotai Abdul Karim  sendiri pernah berhadapan dengan insiden-insiden suram perpecahan seperti dihadapi KEADILAN baru-baru ini. Parti tempatan lain sepert PRS, SUPP dan parti-parti serpihan yang lain juga tegasnya pernah mengalami insiden serupa.

“Sergahan Abdul Karim Rahman Hamzah yang mengatakan KEADILAN akan terkubur adalah petanda bahawa mereka juga menaruh kekhuatiran yang tinggi terhadap kemaraan kita.

“Kewujudan PKR sememangnya dalam perhatian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan saya mempunyai tafsiran bahawa KEADILAN adalah sebuah parti yang akan menggugat kedudukan mereka,” katanya.

Ketika mengulas tindakan beberapa bekas pemimpin dan ahli parti itu yang 'mengkhianati' perjuangan parti, Abang Zulkifli menganggap mereka  tidak akan bertahan lama dan akan kehilangan sokongan rakyat.

“Politikus yang berpura-pura tidak akan bertahan lama. Sejarah memaparkan kepada kita mereka yang suka melompat itu akan kecundang di penghujungnya kelak.

“Mereka ini hanya dipergunakan bila sesebuah parti itu menghadapi kesusahan. Bila senang mereka akan ditinggalkan. Dalam kebanyakan kes mereka tidak akan dicalonkan lagi,” katanya lagi.

Post a comment

0 Comments