KEADILAN tegas, tolak Mahathir jadi calon PM


PERSOALAN
sama ada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan digandingkan dengan Tun Mahathir Mohammad terjawab hari ini.

Melalui satu kenyataan siang tadi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memutuskan untuk tidak menerima cadangan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, sekiranya ia kembali membentuk kerajaan.

Sebaliknya, Majlis Pimpinan Pusat parti itu yang bermesyuarat siang tadi kekal dengan konsensus awal dibuat gabungan itu yang awalnya mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

"KEADILAN tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

"Walau bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan TuN Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri," kata kenyataan itu.

Parti itu turut mengucapkan penghargaan terhadap usaha rakan-rakan dalam DAP dan Amanah yang konsisten menyokong pencalonan Anwar.

“Permasalahan berbangkit apabila Mahathir berpendirian mahu kembali buat kali ke-3 sebagai perdana menteri,” katanya kenyataan tersebut lagi.

Sementara itu, parti itu menegaskan bahawa mereka teus komited untuk terus mengukuhkan HARAPAN, dan akan meneruskan usaha menggembleng tenaga dari semua pihak sefahaman.

“Pada masa yang sama PKR akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa,” katanya.

Sebelum ini, HARAPAN dilapor telah mencadangkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan digandingkan bersama Mukriz Mahathir sebagai timbalannya.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat gabungan itu di Petaling Jaya baru-baru ini, Warisan tidak bersetuju dengan gandingan itu, Warisan kemudian mencadangkan agar Dr Mahathir dilantik sekali lagi sebagai perdana menteri dengan Anwar menjadi timbalannya.

Tempoh untuk Mahathir memegang jawatan itu dicadangkan selama enam bulan, namun Mahathir kemudian dilapor media sebagai meminta ia dilanjutkan selama 12 bulan.

Banyak pihak sebelum ini mempersoalkan tindakan untuk memberikan tempat sekali lagi kepada Mahathir memandangkan Anwar juga merupakan calon yang layak menjadi calon untuk gabungan itu.

Beberapa pemimpin pertubuhan termasuk Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie mempersoalkan risiko yang bakal terjadi sekiranya Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, Dr Mahathir mungkin menggunakan kedudukannya itu untuk mengadakan rundingan tawar-menawar dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Muhyiddin Yassin.

Dr Mahathir juga katanya mungkin akan melantik Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya sekali lagi enggan menyerahkan kedudukan kepada Anwar.

Post a comment

0 Comments