Kebebasan bersuara: Kumpulan hak asasi beri amaran


KUMPULAN aktivis Human Rights Watch (HRW) mempersoalkan kembali tahap kebebasan media di negara ini.

Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson mendakwa bahawa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) semakin kerap menyalahgunakan undang-undang bagi menyiasat dan mendakwa mereka yang mengkritik kerajaan.

"Sejak gabungan PN mengambil alih pemerintahan pusat pada awal Mac 2020, pihak berkuasa telah meningkatkan penyiasatan terhadap individu di bawah undang-undang yang melanggar hak kebebasan bersuara.

"Pihak berkuasa Malaysia telah kembali kepada amalan penyalahgunaan kuasa, memanggil wartawan, aktivis, dan pemimpin pembangkang ke balai polis untuk disoal siasat mengenai tulisan dan catatan media sosial mereka," tegasnya.

HRW memetik kes wartawan Tashny Sukumaran, yang dipanggil polis setelah dia melaporkan mengenai serbuan imigresen di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akibat Covid-19.

Ia termasuk tindakan polis memanggil bekas menteri, Dr Xavier Jayakumar, untuk siasat setelah dia mengkritik keputusan kerajaan yang menghadkan persidangan parlimen baru-baru ini kepada titah diraja saja.

Juga dalam kes Cynthia Gabriel, pengarah pengasas Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4), yang telah dipanggil oleh pihak polis kerana mempersoalakan sepucuk surat dan menggesa siasatan berhubung dakwaan kerajaan melakukan "sogokan" bagi mendapat sokongan politik.

Menyifatkan tindakan itu serupa seperti diamalkan pentadbiran 'masa lalu', PN tegasnya perlu menyemak semula undang-undang agar memenuhi piawaian antarabangsa.

"Kami meminta polis Malaysia untuk berhenti mengganggu dan menakut-nakutkan kumpulan masyarakat awam yang secara terbuka menyoal kerajaan Muhyiddin.

"Khususnya, tidak boleh diterima apabila polis menyiasat individu yang hanya menggunakan kebebasan bersuara. Ini sama dengan penyalahgunaan kuasa," kata HRW dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah piawaian hak asasi manusia antarabangsa, kerajaan hanya boleh mengenakan sekatan kebebasan berekspresi terhadap seseorang jika diarahkan undang-undang dan diperlukan untuk menghormati hak atau reputasi orang lain, atau untuk perlindungan keamanan negara, ketertiban umum, kesihatan awam, atau moral.

HRW melalui kenyataan tersebut bimbang undang-undang digunakan dalam penyiasatan terkini terlalu umum dan boleh disalahgunakan.

Post a comment

0 Comments