Kes Covid-19 di Asia Selatan naik mendadak


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kes Covid-19 di India dan Asia Selatan.

Memetik laporan media, pertubuhan kesihatan itu memaklumkan pertambahan dua kali ganda kes jangkitan wabak itu setiap tiga minggu.

Dalam perkembangan berkaitan, Maharashtra yang terletak di barat India merekodkan lebih 80,000 kes COVID-19 dengan 2,436 kes baru dalam tempoh 24 jam.

Negeri itu turut mencatatkan kematian harian tertinggi dalam tempoh 24 jam lalu, 139 kematian berbanding 123 kematian sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Anil Deshmukh, berkata 560,303 orang dikuarantin di negeri di barat India itu, yang turut merekodkan 2,849 kematian akibat virus tersebut.

Ia disusuli Tamil Nadu di selatan dengan lebih 28,000 kes termasuk 200 kematian.

Mumbai, ibu kota Maharashtra yang berkependudukan 20 juta orang, telah mengesahkan hampir 46,000 kes dan sudah menjalankan 215,827 ujian,

Menurut Kementerian Kesihatan Persekutuan India, negara itu mencatat 9,851 kes dan 273 kematian dalam 24 jam Jumaat lalu dan secara keseluruhan merekodkan 236,954 jangkitan termasuk 6,649 kematian akibat COVID-19.

Selain India, Bangladesh, Pakistan dan negara lain yang berpenduduk padat dilihat sebagai berisiko, walaupun perebakan virus itu menurut WHO tidak ketara namun risikonya tetap ada.

Post a comment

0 Comments