Kes JE di Pontian, penduduk dinasihat berjaga-jaga


SATU kes virus Japanese Encephalitis (JE) melibatkan seorang lelaki Bangladesh dikesan di Daerah Pontian  pada 24 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu yang dipetik laporan Bernama berkata, pesakit itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pada 21 Mei lalu kerana mengalami demam dan tanda-tanda radang otak.

Pesakit itu tambahnya kemudian dirawat sebagai kes ‘meningeal encephalitis’ dan seterusnya dibenarkan pulang dalam keadaan sihat pada 3 Jun lalu.

"Bagaimanapun, laporan makmal yang diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan kemudiannya mengesahkan mangsa menghidap penyakit JE.

“Ekoran itu, Pejabat Kesihatan Daerah Pontian (PKD) Pontian telah membuat siasatan kes di lapangan. Pesakit bekerja di sebuah kilang membuat bahan binaan di Ulu Choh, Pontian," kataDr Aman dalam kenyataan.

Susulan itu jelasnya, aktiviti pengesanan kes aktif di tempat tinggal dan lokasi kerja pesakit itu termasuk pencarian kes di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta berdekatan dijalankan.

Seramai 390 orang disaring untuk gejala penyakit JE iaitu demam, sakit kepala, kekejangan leher, lemah otot atau sawan.

"Bagaimanapun, hasil saringan itu tidak mengesan kes baharu dan sehubungan itu, kes berkenaan disifatkan sebagai kejadian sporadik,” tambahnya sambil menegaskan siasatan lanjut masih dijalankan untuk terus mencari punca JE di sekitar kawasan itu.

Susulan itu katanya, bagi mengurangkan risiko jangkitan, masyarakat di kawasan ini dinasihatkan mengelak aktiviti di luar rumah pada waktu malam.

Masyarakat juga digalakkan menggunakan ‘repelen’ dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang ketika berada di luar rumah untuk mencegah gigitan nyamuk.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam dan radang otak,” katanya menurut laporan itu.

Post a comment

0 Comments