Mahathir bukan calon PM - Farhash


BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bukan calon Perdana Menteri yang dipersetujui gabungan baru Pakatan Harapan (HARAPAN Plus).

Pembantu kepada Pengerusi gabungan itu, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak membuat kenyataan tersebut sebagai menafikan laporan yang disiarkan Free Malaysia Today (FMT) siang tadi berhubung gandingan Mahathir-Anwar.

Farhash yang dipetik laporan Malaysiakini turut menafikan gabungan itu telah bersetuju melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti dilapor.

Isu berkenaan jelasnya masih dalam perbincangan.

Sebelum ini portal FMT yang memetik sumber 'kononnya' dari KEADILAN mendakwa keputusan mengenai calon telah dipersetujui.

Sumber yang tidak disahkan itu menamakan Dr Mahathir sebagai calon tersebut.

Mahathir menurut laporan itu akan berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga akhir 2020 sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar melalui satu perjanjian bertulis.
 
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil dalam satu laporan lain siang tadi memaklumkan kepada media bahawa gabungan itu masih belum memutuskan dan kenyataan mengenai hal itu bakal dikeluarkan lewat hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan hasil mesyuarat pemimpin HARAPAN Plus pada minggu lalu di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya yang antara lain dipercayai mengenai isu calon Perdana Menteri.

Penolakan terhadap Mahathir

Sebelum ini, usaha gabungan itu mengambil semula mandat rakyat yang dikhianati melalui 'langkah Sheraton' dilihat buntu susulan HARAPAN mempunyai dua calon yang layak menjawat jawatan tersebut.

Difahamkan ketika krisis politik Mac lalu, Anwar yang dijanjikan kedudukan itu oleh Mahathir sebelum ini telah dicadangkan sebagai calon perdana menteri bagi mewakili gabungan itu sekaligus menyelamatkan pentadbiran HARAPAN di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun kemudian, ketika Muhyiddin mengusulkan namanya sebagai calon dengan kerjasama bersama Umno dan PAS, Mahathir kembali mengadakan pertemuan dengan HARAPAN dan Anwar difahamkan memberi sekali lagi peluang kepada Ahli Parlimen langkawi itu bagi memulihkan keadaan.

Mahathir bagaimanapun gagal mengambil alih semula pentadbiran ketika itu dan menyaksikan Muhyiddin yang mendakwa ada cukup sokongan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu Farhash berkata pihaknya tidak akan menerima pencalonan Mahathir.

“Kami menolak cadangan untuk menjadikan Tun (Mahathir) sebagai perdana menteri,” katanya.

Penolakan terhadap Mahathir turut disuarakan kumpulan aktivis pro-Anwar.

Organisasi menamakan diri mereka sebagai Otai Reformasi Mahathir membuka ruang untuk Anwar membuktikan kewibawaannya untuk mentadbir negara. 


Menurut mereka, keputusan untuk memberi sekali lagi peluang bagi Mahathir adalah tidak masuk akal memandangkan kesilapan dilakukan sehingga menyaksikan HARAPAN ditumbangkan melalui pengkhianatan. 

Post a comment

0 Comments