Mahfuz saran Hadi soal Muhyiddin tentang Najib


AHLI Parlimen Pokok Sena,  Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menggelar kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu sebagai mentah.

Menurut Mahfuz, kenyataan Abdul Hadi itu mengambarkan seolah-olah Ahli Parlimen Marang itu sebenarnya kecewa apabila Najib dan Umno digulingkan.

Melalui satu siaran video, Mahfuz mempersoalkan apakah kenyataan itu mahu menuduh bahawa kemenangan HARAPAN pada PRU lalu itu  dicapai melalui fitnah terhadap dakwaan kleptokrat Najib Razak, Mahfuz menyarankan supaya Abdul Hadi menyalahkan Perdana Menteri yang memimpin kerajaannya dianggotainya sekarang.

Tegasnya. sekiranya HARAPAN mempengaruhi rakyat dengan melontarkan fitnah terhadap Najib dan Umno, maka jelasnya ia bermaksud yang memfitnah itu adalah Muhyiddin Yassin.

Sebagai rekod, Muhyiddin aktif berkempen mendedahkan isu 1MDB sewaktu pilihanraya yang lalu.

“Orang yang dimaksudkan Presiden PAS sebagai orang tak matang, orang yang mempunyai pemikiran begitu mentah sehingga menjatuhkan Najib adalah PM yang ada sekarang ini.

“Saya minta supaya beliau menghalakan kenyataan beliau itu kepada Perdana Menteri sekarang, yang sebenarnya banyak menggerakkan kempen kesedaran rakyat untuk menolak kerajaan Umno,” katanya.

Mahfuz turut berkongsikan petikan rakaman kempen Muhyiddin pada PRU lalu  yang berkata terkejut dengan bukti dilihatnya dalam isu berkaitan dana 1MDB berkaitan Najib.

“Saya nak minta Presiden Pas bertanya kepada PM adakah PM mahu tarik balik terhadap apa yang pernah diutarakan oleh beliau bahawa Najib adalah pencuri 1MDB.

“Itu kenyataan yang sering diungkap dan diulang oleh PM. Saya minta Hadi Awang utarakan soalan itu kepadanya,” ujarnya lagi.

Post a comment

0 Comments