Mandat rakyat wajar dikembalikan dengan betul - AMK


MANDAT
rakyat wajar dikembalikan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui "saluran yang betul", kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syed Badli Syed Osman.

Tegas Syed Badli, tiada keperluan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam tempoh terdekat, selain negara masih dalam proses pemulihan daripada wabak koronavirus (Covid-19), ia juga dilihat sebagai satu pembaziran lebih-lebih lagi PRU baru diadakan dua tahun lalu.

"Justeru itu jika berpeluang, mandat pemerintahan perlu dikembalikan semula kepada HARAPAN mengikut saluran yang betul.

"HARAPAN perlu kembali mengemudi negara sehingga selesai tempoh mandat yang sebenarnya," katanya pada satu kenyataan.

Sebagai rekod, HARAPAN menerima mandat rakyat untuk mentadbir negara pada PRU-14 lalu, namun kuasa tersebut dirampas melalui 'langkah sheraton' yang kini menyaksikan negara ditadbir majoriti kecil bekas pemimpin HARAPAN yang berpaling tadah dan pemimpin dari parti politik yang kalah pada PRU lalu.

Mereka membentuk perikatan politik longgar yang dinamakan Pakatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, sehingga kini keasbahan sokongan didakwa Perdana Menteri PN, Muhyiidn Yasin masih tidak dibuktikan di Dewan Rakyat.

Sejak itu, wujud spekulasi bahawa HARAPAN sekali lagi akan berusaha merebut kembali Putrajaya, mereka mendakwa telah memperolehi jumlah sokongan mencukupi untuk menjatuhkan PN.

Berbanding pendirian menyokong lagkah Sheraton pada Mac lalu, beberapa pemimpin pro PN kini mencadangkan agar pilihan raya umum diadakan segera sekiranya terdapat usaha menjatuhkan kerajaan PN mahu dilakukan.

Sementara itu, Syed Badli Shah yang dipetik Malaysiakini memberitahu, "saluran yang betul" yang disebutnya bermaksud HARAPAN perlu mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk menuntut kembali pentadbiran Putrajaya.

"Sekiranya mereka mempunyai jumlah (angka sokongan majoriti ahli parlimen), ikuti Perlembagaan Persekutuan untuk mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong dan membentangkannya," katanya.

Post a comment

0 Comments