Mesti sokong Azmin: Syed Ibrahim mahu penjelasan MB


SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad memberi penjelasan berhubung salinan surat ikrar yang meminta ketua kampung masyarakat Cina menyokong Azmin Ali.

Syed Ibrahim Syed Noh (Parlimen Ledang) berkata Hasni perlu berterus terang kepada rakyat negeri Johor sekiranya perkara itu benar.

Mempersoalkan tindakan itu, Syed Ibrahim berkata bahawa ia satu perkara pelik untuk memberi sokongan kepada pemimpin anak kelahiran Selangor itu.

"Bukankah sokongan yang ditagih daripada ketua masyarakat Cina kepada Azmin satu tindakan membelakangi kerajaan Negeri Johor malah tidak menghormati Menteri Besar sebagai Ketua Negeri?

"Apakah muslihat politik itu ialah supaya kerajaan Johor dan PN Johor yang terdiri daripada Umno, Bersatu dan PAS Johor, tunduk kepada Azmin," soal Syed Ibrahim.

Semalam, exco kerajaan negeri dan ahli parlimen bebas Chong Fatt Full mengesahkan bahawa ketua kampung masyarakat Cina di Johor diminta menandatangani surat ikrar sokongan itu.

Salinan surat itu meminta penandatangan akan memberikan "sokongan padu" kepada "wadah politik baru" yang ditubuhkan di bawah kepimpinan Azmin.

Chong mendakwa tidak seperti ketika pentadbiran PH di Johor, ketua kampung yang baru ini tidak perlu menjadi ahli parti pemerintah.

“Kami hanya mahu mereka (calon ketua masyarakat) tandatangan. Jadi mereka boleh tonjolkan pendirian mereka," katanya seperti dilapor sebuah portal.

Salinan surat yang tular
Sementara itu, Syed Ibrahim sekali lagi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Chong kerana didakwa mendapat keuntungan politik dengan menjadikan ketua kampung itu sebagai penyokong Azmin.

Tegasnya, jelas terdapat elemen konflik kepentingan dan salah guna jawatan kerajaan sama ada sebagai menteri atau exco untuk “membeli” sokongan sebagai sekutu politik.

"Laporan polis dan laporan SPRM wajar dibuat ke atas exco Johor tersebut yang barang kali ada bidang kuasa dalam menentukan siapa yang layak atau siapa yang akan ditolak menjadi ketua masyarakat Cina.

"Malah exco berkenaan wajar dicutikan jawatan sementara SPRM membuat siasatan selepas satu laporan polis dan laporan SPRM dibuat," katanya dipetik.

Post a comment

0 Comments