MP Bersatu sanggup tinggalkan PN?


AHLI Parlimen Sri Gading, Shahruddin Md Salleh  dilapor berkata beliau bersedia meninggalkan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin Yasin dan kembali semula ke Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beberapa portal dalam laporannya berkata, pendirian terbaru dibuat Timbalan Menteri Kerja Raya itu bagi memastikan parti dianggotainya boleh terus hidup.

“Saya nak lihat Bersatu kuat dan kukuh; Barang dijauhkan sekali parti Bersatu dilihat sebagai melukut di tepi gantang dan ahli-ahli awal yang tulin dalam perjuangan pula dipingggirkan,...

“Andai kata saya perlu letak jawatan sebagai timbalan menteri Kementerian Kerjaraya, saya akan letak jawatan, demi memperkukuhkan Bersatu,” katanya dipetik.

Untuk rekod, kenyataan Shahruddin disiarkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bersatu Armada di laman Facebook mereka.

Melalui kenyataan yang didakwa dibuat Shahruddin itu, beberapa kepincangan kebelakangan ini turut dibangkitkan. Ia antaranya berkenaan sidang parlimen satu hari tanpa perbahasan pada 18 mei lalu.

"Tidak ada perbahasan, tidak ada soal jawab soalan-soalan lisan, luar dari kebiasaan, norma baru, agaknya takutkan Covid 19.

"Dewan Rakyat akan disambung nanti bulan Julai, bulan depan, insya-Allah, semua kita ahli-ahli parlimen menunggu, penuh debaran," tambahnya.

Kenyataan itu turut mempersoal keasbahan (PN) sebagai badan sah yang menurutnya berbeza dengan HARAPAN yang didaftarkan dibawah pendaftar pertubuhan (ROS).

"Pada saya, PN adalah sekadar nama badan persatuan tidak rasmi antara ahli-ahli Parlimen yang bersetuju Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

"PN bukan gabongan parti-parti, apatah lagi saya belum lihat, kaji dan bahas sedalam-dalamnya Perlembagaan PN yang telah dibawa ke Perhimpunan Agong Khas atau setidak-tidaknya ke Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)," katanya.

Shahruddin yang sebelum ini didesas-desuskan mahu meninggalkan PN turut mempersoal sama ada parti dianggotainya mampu menerima kerjasama seperti mana dinikmati Bersatu semasa bersama HARAPAN.

"Cuba saudara berikan jawapan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya.

"Adakah PN atau HARAPAN yang akan memberikan laluan mudah tanpa bahas untuk menerima calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading di PRU15 nanti?

"Itu jugak adalah jawapan kepada satu soalan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam HARAPAN?" soalnya.

Bagaimanapun, belum ada penjelasan setakat ini dari Shahruddin sendiri sekiranya kenyataan disiarkan di Facebook sayap pemuda Bersatu itu adalah kenyataan oleh beliau sendiri.

Post a comment

0 Comments