MPP mesyuarat esok, selesaikan isu calon PM


GABUNGAN Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak pernah mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri pada mesyuarat baru-baru ini.

Ketua Setiausaha HARAPAN, Saifuddin Nasution berkata “Pakatan Harapan Plus”- gabungan antara HARAPAN dan sekutunya  telah berjumpa pada 13 Jun dan Mahathir mencalonkan dirinya sendiri bagi jawatan tersebut.

Jelas Saifuddin, HARAPAN sebelumnya telah sepakat menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri, namun Mahathir  mahu berkhidmat sekurang-kurangnya 12 bulan dengan alasan mahu membetulkan  masalah bekas perdana menteri Najib Razak dan penyandang jawatan itu kini Muhyiddin Yassin.

“(Presiden Warisan) DS Shafie Apdal menyatakan bahawa 12 bulan itu terlalu lama, dan 6 bulan seharusnya mencukupi.

“(Mesyuarat berakhir setelah) Tun Dr Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa, dan Pakatan Harapan kekal dengan pendirian Anwar sebagai calon perdana menteri,” kata Saifuddin.

Semalam seorang pemimpin DAP telah mendedahkan secara terbuka isi mesyuarat gabungan itu pada minggu lalu.

Anthony Loke dalam laporan disiar Malaysiakini mendesak agar Anwar segera memberikan jawapan apakah beliau bersetuju dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi digandingkan bersama Dr Mahathir.

Gesaan itu bagaimanapun dibidas pemimpin beberapa KEADILAN yang beranggapan adalah tidak adil mendesak Anwar memberikan ketetapan ketika perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Sementara itu, Saifuddin dalam kenyataan media berkata dakwaan HARAPAN telah mencalonkan nama lain selain Anwar sebagai perdana menteri adalah tidak benar.

Saifuddin turut menambah bahawa Majlis Pimpinan Pusat Keadilan (MPP) akan mengadakan mesyuarat esok dan pendirian parti akan dimuktamadkan.

Post a comment

0 Comments