M'sia catat 10 hari tanpa kematian Covid-19


BAGI
tempoh 10 hari terakhir, tiada kes kematian membabitkan wabak koronavirus (Covid-19) telah dilaporkan.

Sejak 23 Mei lepas jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.46 peratus) dari keseluruhan kes positiv Covid-19 di negara ini.

Setakat siang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kumulatif kes wabak itu adalah 7,857 kes, ia susulan pertambahan 38 kes baru yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Sejumlah 26 kes dari kes itu kata Dr Noor Hisham adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Manakala daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan hanya enam kes dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, 51 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih dan discaj sebanyak 6,404 kes (81.5 peratus) menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,338 kes.

Dari jumlah itu, sebanyak lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripada kes berkenaan, memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kes jangkitan Covid-19 di Malaysia yang semakin menunjukkan penurunan.

Beliau bagi pihak kementerian mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysi atas kerjasama melawan wabak tersebut.

“Namun begitu, masyarakat perlu terus kekal waspada dan patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan, bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat,” tegasnya.

Post a comment

0 Comments