Muhyiddin hantar usul singkir Speaker dan Timbalan Speaker


MUHYIDDIN Yassin dilapor telah mengemukakan usul untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming.

Akhbar harian berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau melaporkan usul untuk menyingkirkan Ariff dan Nga akan dibawakan pada 13 Julai depan, iaitu hari pertama persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Usul itu diserahkan  Muhyiddin pada jam 4.50 petang Jumaat, sepuluh minit sebelum tempoh bagi mengfailkan usul berakhir.

Difahamkan, usul itu dibuat di bawah Perkara 57 (3) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan: "Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, melainkan oleh sebab Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum, maka seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong, seorang ahli lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Rakyat, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua."

Sementara itu, Nga yang juga Timbalan Speaker berkata usul dikemuka Muhyiddin itu luar kebiasaan amalan parlimen, Ia juga adalah pertama seorang perdana menteri mencadangkan untuk menyingkirkan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

"Menurut konvensyen parlimen, kedudukan speaker biasanya dikosongkan dalam salah satu dari tiga keadaan berikut - ketika parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum, ketika speaker meninggal dunia atau ketika speaker mengundurkan diri. Ketiga-tiga situasi ini tidak terjadi," katanya.

Nga juga mendakwa belum pernah terjadi sebelumnya dalam usul itu adalah apabila pergantian speaker dan timbalan speaker diminta dilakukan serta-merta.

Parlimen biasanya memberi notis 14 hari kepada semua ahli parlimen untuk membolehkan mereka mencalonkan speaker baru apabila jawatan itu kosong. Sekiranya lebih dari satu calon dicadangkan, keputusan akan dibuat melalui undian.


Menjelaskan lanjut, Ahli Parlimen Teluk Intan berkata seseorang perdana menteri secara bersendirian tidak ada kuasa untuk menyingkirkan speaker atau timbalan speaker.

"Hanya Dewan Rakyat yang berkuasa untuk melakukan itu. Apa pun usul, sama ada untuk mengganti speaker atau membekukan konvensyen parlimen, ia mesti dibawa ke Dewan untuk undian.

"Pendirian kami mudah, kami akan hormat keputusan yang dibuat oleh Dewan Rakyat. Sekiranya dewan mahu kami kekal, kami akan kekal. Sekiranya dewan mahu kami pergi, kami akan pergi. Semuanya akan dilakukan mengikut perlembagaan dan peraturan parlimen,” katanya dipetik. 

Post a comment

0 Comments