Muhyiddin jadi 'terompah kayu' Umno, dakwa Khalid Samad


PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuainya dilihat hanya menjadi alat kepada Umno.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dalam muat naik di laman micro Twitternya mendakwa sokongan diberikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak kepada Muhyiddin hanya sekadar memenuhi hajat mereka.

Lebih teruk tegas bekas Menteri Wilayah itu, dengan apa yang berlaku dalam Bersatu kini, Muhyiddin dilihat tidak lagi peduli tentang masa depan parti itu.

Petikan Tweeter milik Khalid Samad
“Nampak sangat Muhyiddin, PPBM dan PN bagaikan ‘terompah kayu’ yang digunakan oleh Najib dan Zahid dalam memenuhi hajat mereka.

“Namun, Muhyiddin sama saja. Setelah mencapai cita-citanya untuk menjadi PM, Muhyiddin tak kisah nasib yang bakal menimpa PPBM. Terkubur pun tak mengapa,” katanya.

Khalid berkata demikian dalam reaksinya terhadap kesediaan Zahid dan Najib untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut, Khalid berkata, hajat Najib dan Zahid adalah supaya Pakatan Harapan (HARAPAN) dijatuhkan.

“Dengan itu mereka berdua lepas dari penjara. Kalau Muhyiddin teruskan usaha pendakwaan, maka Muhyiddin, yang sudah bergantung hayat dengan mereka, akan turut dijatuhkan.

“Bukan Muhyiddin tak nampak. Tapi ingin sangat nak jadi PM…,” bidas Khalid lagi.

Sebelum ini, wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menyuarakan kebimbangan bahawa Muhyiddin bakal 'ditelan' Umno. 


Melihat perkembangan semasa, A Kadir mempersoalkan sama ada Zahid dan Najib ada perancangan untuk memaksa pilihan raya lebih awal dan menggunakan jawatan menteri dan GLC diberikan Muhyiddin kepada pemimpin Umno sebagai 'senjata' menjatuhkan PN.

“Dengan kekuatan jawatan menteri, menteri besar dan GLC yang Muhyiddin berikan itu, Umno dan Pas kini mempunyai kekuatan menentukan kekal atau jatuh kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Post a comment

0 Comments