Nani cuba raih kepentingan peribadi – KEADILAN Sabah


PENGARAH
Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah, Adam Fistival Wilfrid menyelar tindakan Nani Sakam yang membuat pengumuman keluar parti Jumaat lalu.

Tegas bekas aktivis pelajar itu, taktik lama diguna bekas Pengarah Tugas-tugas Khas itu bukan semata-mata untuk menjatuhkan parti namun dilihat lebih kepada  percubaan meraih kepentingan peribadi.

Malah pengumuman Nani pada Jumaat lalu itu jelasnya bukan kali dilakukan dan perkara serupa pernah dilakukan sebanyak tiga kali sejak 2018 hingga kini 2020.

Menolak dakwaan Nani, Adam turut menegaskan bahawa semua Cabang KEADILAN di Sabah tetap menyokong dan berdiri teguh dibawah kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Negeri, Datuk Christina Liew

“Tindakan beliau ini bagai ikan yang menunggu dipancing dan kemudiannya mendapat habuan besar untuk ditawarkan.

“Cukup-cukuplah dengan niat sebegitu kerana rakyat Sabah sudah bosan dengan drama politik yang tidak membina,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara Adam memberitahu bahawa kepimpinan negeri kini bercadangan menghantar ‘notice of demand’  bagi meminta Nani membuktikan dakwaan bahawa 8,000 ahli akar umbi KEADILAN telah bersetuju keluar parti.

Adam memberi amaran bahawa kegagalan Nani memberi bukti itu akan menyebabkan tindakan undang-undang  keatas beliau dan rakan-rakannya pada sidang media itu akan dikenakan.
  
Sementara itu, Timbalan Pengerusi KEADILAN Sabah, Mustapha Sakmud dalam satu kenyataan mengecam tindakan Nani.

Kata Mustapha, pihaknya yakin sidang media yang diadakan adalah bagi memberi persepsi negatif kepada Kerajaan Negeri sabah yang turut disertai KEADILAN.

Sebagai rekod, keahlian Nani Sakam dalam parti itu digantung kerana melanggar disiplin parti pada April 2019. Malah Nani dilapor kalah dalam pemilihan Cabang Sepanggar pada pemilihan yang diadakan sebelum ini.

Post a comment

0 Comments