Noor Hisham jelaskan rasional sistem syif di Klinik


KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham tampil menjelaskan rasional perkhidmatan dua syif di klinik kesihatan kerajaan

Pada sidang media diadakan semalam, Dr Noor Hisham berkata, cadangan mewujudkan sistem giliran pagi dan petang itu susulan petugas kesihatan ketika ini perlu bekerja dalam jangka masa lama iaitu dari pagi sehingga 10 malam.

Langkah memperkenal sistem baru itu tegasnya dapat meringankan beban dihadapi petugas di klinik kerajaan.

“Jika 2 syif waktu kerja lebih pendek, iaitu hanya 8 jam. Mungkin itu salah satu cara penyelesaiannya.

“Tetapi kita kena lihat sebelum laksana, sama ada dapat pertambahan jawatan untuk lantik lebih ramai doktor dan jururawat untuk tampung waktu (2) syif ini,” katanya ketika ditanya sama ada kementerian membuat perubahan selepas terdapat bantahan terhadap cadangan tersebut.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan  (KKM) digesa menagguhkan cadangan melaksanakan sistem syif di klinik kesihatan seluruh negara sehingga perbincangan bersama kesatuan dan pihak berkepentingan diadakan.

Gesaan itu dibuat beberapa pertubuhan berkaitan kesihatan termasuk Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) susulan bancian pendapat dalam kalangan kakitangannya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebagai ketua pengarah kesihatan, beliau perlu melihat pilihan sedia ada terlebih dulu dari segi penggunaan fasiliti KKM.

Katanya, jika cadangan 2 syif tidak ada, maka wujud keperluan untuk membina lebih banyak ruang dan fasiliti bagi menampung jumlah pesakit yang bertambah dan petugas kesihatan pula bakal bekerja untuk jangka masa lebih lama.

“Kalau tidak ada 2 syif, kena tambah waktu kerja dan guna sumber tenaga sedia ada. Buat masa ini petugas perlu bekerja lebih masa hingga 10 malam,” katanya.

 

Post a comment

0 Comments