PAC kini dianggap telah lumpuh

 
JAWATANKUASA
Kira-kira Wang Awam (PAC) yang bertanggungjawab menjadi badan semak dan imbang pentadbiran kerajaan kini disifatkan sebagai sudah lumpuh.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Wong Kah Woh dalam satu keniataan berkata badan itu tidak boleh lagi berfungsi untuk meneliti kerajaan.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timur itu lagi, beliau membuat kesimpulan itu susulan  beberapa ahli jawatankuasa itu kini telah dilantik memegang jawatan eksekutif.

PAC jelasnya mempunyai empat laporan penting yang belum selesai untuk memastikan kewangan kerajaan dapat dikendalikan.

"Malangnya, kami tidak dapat melakukannya sekarang.

"Pentadbiran Muhyiddin telah mematikan semangat demokrasi berparlimen sejak bulan Mac ... Tindakan dan keputusan kerajaan tidak lagi akan diawasi oleh badan perundangan.

"Ini adalah langkah yang jauh terkebelakang untuk negara," katanya melalui kenyataan itu.

Sebagai rekod, PAC mempunyai kuasa memanggil orang untuk hadir dihadapannya atau meminta mengeluarkan surat-surat, rekod-rekod dan mengeluarkan penyata kepada Majlis dari satu masa ke satu masa bagi tujuan semakan perbelanjaan.

Seseorang ahli Majlis tidak boleh dilantik, memegang atau memangku jawatan Pengerusi atau Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara semasa dia menjadi seorang menteri.

Difahamkan, lima ahli PAC dilantik Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menyemak perbelanjaan kerajaan sebelum ini telah diberi jawatan dibawah kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PAC Noraini Ahmad (Umno-Parit Sulong) telah dilantik sebagai menteri pendidikan tinggi sementara ahli jawatankuasa Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) adalah menteri undang-undang.

Tiga ahli jawatankuasa lain - Muslimin Yahaya (Bersatu-Sungai Besar), Ismail Mohamed Said (Umno-Kuala Krau) dan Ahmad Hamzah (Umno-Jasin) - adalah timbalan menteri.

Sementara itu,  Wong berkata Dewan Rakyat seharusnya memilih Jawatankuasa Pemilihan baru - yang akan menentukan komposisi pelbagai jawatankuasa terpilih parlimen - semasa persidangan Mei lalu.

Post a comment

0 Comments