Pemandu lori maut dihempap balak


SEORANG
pemandu lori dilapor maut dihempap kayu balak di sebuah kilang di Jalan Baru Broga dekat Semenyih semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam satu kenyataan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 46 tahun itu sedang membuka rantai besi yang mengikat kayu tersebut di bahagian belakang lori dipandunya.

Menurut Mohd Zaid, kayu balak itu tiba-tiba menggelongsor dan menghempap mangsa.

"Mangsa merupakan pemandu lori dari syarikat yang berpengkalan di Pahang.

"Lelaki itu bergerak dari Pahang kira-kira jam 2 petang semalam dan sampai di kilang tersebut pada jam 8 pagi tadi (Rabu),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih Mohamad Darul Azreen Md Desa memaklumkan pihaknya mengeluarkan mayat mangsa dengan menggunakan ‘air lifting bag’ dan bantuan jentolak kilang tersebut.

Mayat mangsa jelasnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

Post a comment

0 Comments