Pembalakan dihentikan lepas laporan media


KERAJAAN
Perak dilapor telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan semua kegiatan pembalakan di hutan Hulu Chepam.

Arahan terbaru itu dikeluarkan susulan bantahan dikemuka Orang Asli Temiar yang disiarkan media sebelum ini.

Peguam David Gurupatham yang dipetik Malaysia Insight berkata arahan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Perak pada Rabu lalu, selepas perjumpaan melibatkan pihak berkuasa, syarikat pembalakan dan wakil masyarakat Orang Asli yang menuntut hak ke atas tanah tersebut.

“Dalam perbincangan dengan semua pihak (pada Rabu) Jabatan Perhutanan telah serahkan surat penangguhan aktiviti pembalakan,” katanya dipetik laporan itu.

Awal minggu lalu, Pusat Prihatin Orang Asli (COAC) mendakwa aktiviti pembalakan telah dimulakan semula di Kampung Sungai Papan, Gerik-Perak.

BACA:
COAC dakwa tanah orang Asli diteroka semula untuk balak 

Aktiviti itu dikesan setelah kerajaan melonggarkan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) terhadap sektor ekonomi

Sebagai rekod, pada Ogos 2019, kerajaan Perak yang dipimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika itu menghentikan semua aktiviti pembalakan di kawasan itu.

COAC sebelum ini dalam kenyataannya turut mendedahkan bahawa bukan cuma kawasan tersebut telah dibalak semula.

Masyarakat Orang Asli di Lojing-Gua Musang di Kelantan, Temiar di Kampung Kelaik dan Pos Brooke juga dakwa mereka melihat kehadiran jentolak.

“Mereka (pembalak) datang untuk kayu balak dan untuk menanam durian Musang King,” kata COAC lagi.

Sementara itu, David  berkata pihaknya bakal memfailkan satu deklarasi di Mahkamah Sivil bagi mengisytiharkan kawasan 42 hektar sebagai tanah adat Orang Asli, ia bagi mengelakkan isu serupa berulang.

Post a comment

0 Comments