Pemimpin Umno dakwa Bersatu lubok kaki lompat


KEPUTUSAN 
kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melantik tiga pemimpin parti Bersatu yang menyokong perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak disenangi seorang pemimpin Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi menyifatkan tiga pemimpin tersebut yang bakal diangkat sebagai senator minggu depan umpama three stooges’ kerana pandai main wayang.

Mereka katanya sentiasa melompat untuk mencari peluang dalam hidup mereka.

“Memang hebat three stooges yang baru dilantik sebagai Senator. Rais Yatim, Radzi Sheikh Ahmad dan Zahid Md Arif.

“Mereka hidup sepanjang zaman kerana pandai main wayang sepanjang Zaman,” tulis bekas Anggota Parlimen Batu Pahat itu seperti dilapor portal Malaysia Dateline.

Puad turut menyorot sejarah pemimpin-pemimpin tersebut, Rais Yatim dan Radzi jelasnya pernah meninggalkan Umno untuk menyertai parti Semangat 46.

Mereka katanya lagi menyertai semula Umno sebelum menganggotai parti Bersatu dan akhirnya masuk Bersatu 2.0.

“Zahid Md Arif pula dari Umno kepada KEADILAN, kepada Umno, kepada Bersatu dan akhirnya masuk Bersatu 2.0,” tulis bekas ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan Barisan Nasional yang telah dimansuhkan itu.

Sebagai rekod, Umno bersama PAS menyertai PN yang diketuai Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin KEADILAN yang bertindak 'mengkhianati' Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebilangan besar pemimpin Umno dan PAS serta dari Bersatu dan parti yang menyokong PN dilantik kejawatan penting kerajaan termasuk Duta bertaraf menteri dengan wakil rakyatnya diberikan jawatan dalam Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).

Tindakan itu menimbulkan persoalan dikalangan masyarakat terutama dengan terdedahnya rakaman audio didakwa Muhyiddin Yassin. Individu dalam rakaman itu  membuat penawaran jawatan untuk meyakinkan wakil rakyat untuk menyokong partinya.

Sementara itu, Puad dalam tulisannya turut menyelar parti bersatu yang kini berpecah kepada dua.

Beliau menyifatkan parti itu kini sudah tersasar dari tujuan asal penubuhannya.

"Bersatu memang lubok untuk kaki lompat dan main wayang,” kata Puad dalam facebook beliau.
 

Post a comment

0 Comments