Pemuda HARAPAN lapor SPRM isu audio tawar jawatan



PEMUDA Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya susulan rakaman audio tidak disahkan yang didakwa suara perdana menteri, Muhyiddin Yassin yang menjanjikan jawatan kerajaan bagi menarik pemimpin Umno menyertai partinya.

Laporan oleh sayap pemuda dari tiga parti dalam HARAPAN itu  diketuai Timbalan Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Mereka mendakwa, tawaran yang didakwa dilakukan Muhyiddin itu 'memalukan' orang melayu dan jelas telah melanggar Akta SPRM 2009.

“Dalam rakaman tersebut dengan terang dan jelas Muhyiddin merancang menggunakan kedudukan dalam kerajaan dengan menawarkan sogokan kedudukan dan jawatan sebagai menteri dan pengerusi GLC.

“Terbukti selepas ‘rampasan kuasa’. Perikatan Nasional (PN) membahagi jawatan menteri dan GLC seperti yang dirancang oleh Muhyiddin.

“PN mengagihkan jawatan ini ala adegan perompak dalam filem Nujum Pak Belalang, membahagikan harta rompakan, ‘satu untuk kau, satu untuk aku’, ‘jawatan untuk kau, sokongan untuk aku’,” katanya di ibu pejabat SPRM Putrajaya seperti dilapor sebuah portal.

Turut hadir ialah ketua Pemuda DAP, Howard Lee serta exco Pemuda Bersatu, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Dalam rakaman audio yang tular baru-baru ini, individu yang suaranya mirip Muhyiddin didakwa merancang untuk menawarkan kepada pemimpin Umno jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Rakaman itu didakwa dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Februari.

Individu dalam rakaman itu menggalakkan pemimpin Bersatu untuk meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk menyokong parti itu, sekali gus untuk menjadikannya parti pemerintah terbesar.

Post a comment

0 Comments