Pendemik: KEADILAN tak letak calon PRK Chini


PARTI
Keadilan Rakyat (KEADILAN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) itu dibuat setelah mengambil kira penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang belum dapat ditangani sepenuhnya di negara ini.

"Aspek keselamatan dan kesihatan para pengundi pada ketika ini masih menjadi satu kerisauan.

"KEADILAN berpandangan SOP yang bakal dikeluarkan akan mendatangkan kesan kepada cara berkempen dan gerak kerja di lapangan.

"Contohnya, larangan lebih dari 20 orang berhimpun untuk ceramah umum perlu diteliti, dan kita juga belum diberitahu prosedur untuk kempen rumah ke rumah, pondok panas serta perkara-perkara lain yang amat penting dan menjadi kelaziman dalam konteks persiapan gerak kerja pilihanraya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRK Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Ia menjadi pilihanraya pertama yang akan diadakan ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah menetapkan tarikh hari penamaan calon pada 20 Jun dan pengundian awal diadakan 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata pihaknya sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan PRK itu dalam melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pengundi.

Post a comment

0 Comments