Penduduk Tambun bimbang tanah rizab diteroka


SEKUMPULAN penduduk di Tambun bimbang sekiranya satu kawasan tanah rizab berhampiran kaki bukit Gunung Panjang diteroka secara haram.

Wakil penduduk, Wong Pek Yin yang dipetik laporan Sinar berkata, tanah rizab milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) itu mula ditarah bagi tujuan pemasangan pagar sejak Khamis minggu lalu.

Menurutnya, tindakan pihak kontraktor melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan itu yang menurutnya didakwa tidak mengikut sempadan rizab tersebut mencurigakan.

“Kami diberitahu pihak MAIPk kontraktor sama 2017 kembali melakukan kerja-kerja pembersihan untuk pemasangan pagar dengan kemasukan jengkaut.

“Selain itu, disahkan bahawa tiada kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan kerja-kerja pembinaan tambahan kawasan hutan yang dibersihkan itu jauh dari sempadan. Tindakan itu amat menimbulkan kecurigaan,” katanya pada sidang media.

Difahamkan, ia kali ketiga kawasan tanah rizab seluas 3.2 hektar itu diteroka sejak 2011.

Sementara itu Pek Yin berkata, penduduk membantah sebarang kegiatan dilakukan di kawasan terbabit yang dilihat mengancam kestabilan bukit batu kapur itu.

“Jabatan Mineral dan Geosains Perak telah mengesahkan bahawa bukit itu dipenuhi dengan enapan kolluvium yang terdiri daripada bongkah batu kapur dan tanah yang lembut di mana ia sensitif dengan gangguan fizikal.

“Kontraktor menggunakan jentera berat untuk menggali kaki bukit merupakan gangguan fizikal kaki bukit dan pasti akan mempengaruhi kestabilannya,” katanya menurut laporan portal tersebut.

Post a comment

0 Comments