Penunggang maut jatuh motosikal


SEORANG penunggang motosikal maut akibat kemalangan di susur masuk ke Genting Highlands di Lebuhraya Karak, semalam.

Mangsa, Muhammad Badri Nasir, 23, sebelumnya cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Selayang sebelum disahkan meninggal kira-kira jam 10.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Honda RS150 dalam perjalanan dari Gombak menghala ke Genting Highlands jam 11.30 pagi.

Keadaan di tempat kejadian | Sumber - Google
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa melalui jalan berselekoh ke kanan dan motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh.

"Motosikal mangsa ditemui di pos kawalan Genting Highlands dan mengalami kerosakan pada bahagian kiri, manakala topi keledar juga pecah di bahagian kiri.

"Akibat kemalangan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Arifai berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati laluan berkenaan adalah jalan selekoh ke kanan dan mempunyai dua lorong.

Pihak polis juga menggesa orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Dzulhafizie Abd Rasid di talian 0137465469 untuk siasatan lanjut.

Post a comment

0 Comments