PN Johor didakwa tak fokus isu ekonomi rakyat


PENYELARAS Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Johor, Aminolhuda Hassan menyifatkan Kerajaan Negeri Johor dibawah Perikatan Nasional (PN) tidak menumpukan permasalahan ekonomi yang terkesan dengan pendemik Covid-19.

Aminolhuda Hassan berkata, sejak mengambil alih pentadbiran Negeri itu dari HARAPAN, tiada perancangan telah dilaksana kerajaan minoriti itu bagi membentuk semula ekonomi di Johor.

“Perkara ini perlu dilihat oleh PN kerana sehingga hari ini kita masih tidak dapat melihat rancangan yang mampan dalam usaha membentuk semula ekonomi negeri ini.

“Sebelum ini kerajaan HARAPAN Johor dalam Belanjawan 2020 yang lalu telah membentangkan beberapa kaedah perolehan kepada negeri melalui program-program berskala besar seperti Tahun Melawat Johor (TMJ 2020), Sukma dan sebagainya.

“Kita maklum bahawa perkara itu tidak dapat dilaksanakan akibat serangan wabak Covid-19 di seluruh dunia yang membantutkan beberapa industri seperti pelancongan, perumahan, ekonomi dan sebagainya.

“Kerajaan PN perlu segera mengadakan rangsangan tersebut bagi kesinambungan perolehan serta ekonomi negeri agar ia mampu bergerak terus seiring dengan kehendak rakyat,” ujarnya.

ADUN Parit Yaani berkata, tumpuan juga harus diberikan bagi membantu meningkatkan semula ekonomi rakyat yang turut terkesan.

Tambahnya, sepertimana yang diketahui, peningkatan pengangguran rakyat dalam negeri ini kian meningkat akibat pembuangan kerja dari sektor-sektor tertentu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac yang lalu.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan negeri lebih proaktif untuk menyakinkan pelabur untuk melabur dengan membuka peluang industri-industri luar mengusahakan produk mereka ke dalam negeri itu.

Post a comment

0 Comments