PN terdesak, jual nama main persepsi


DESAS-desus kononnya empat Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) akan keluar parti untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) adalah palsu.
     
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Loretto Padua melalui satu kenyataan menyangkal laporan berita oleh Harian Metro yang disiar ketika pemimpin dari Pakatan Harapan (HARAPAN), Bersatu dan Warisan mengadakan pertemuan semalam.

“Ini hanyalah permainan persepsi oleh PN kerana mereka takut dengan sokongan yang diberikan kepada PH Plus.

“Permainan ini bukan sahaja dimainkan ke atas Ahli Parlimen Warisan tetapi juga Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri agar mereka menyokong PN,” katanya Loretto.

Petang semalam, Presiden Warisan, Datuk Sri Shafie Apdal bersama Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Tun Dr Mahathir Mohammad hadir bagi membincangkan 'perkara penting' berkaitan mandat rakyat.

Perbincangan itu dilapor positif dan hasil mesyuarat itu yang kini sedang diperincikan bakal didedahkan seminggu lagi.

Ura-ura peralihan kuasa semakin diperkatakan kebelakangan ini, Dr Mahathir sendiri sebelum mesyuarat semalam membuat pertemuan tertutup bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Loretto berkata, PN sudah ketandusan idea sehingga mereka berani menjual nama Ahli- Ahli Parlimen kononnya mereka telah bersetuju untuk melompat.

Harian Metro melaporkan sekurang-kurangnya empat Ahli Parlimen dari parti Warisan dikatakan akan bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun semakan mendapati laporan disiar itu telah dipadamkan.

Dalam kenyataanya, Loretto berkata, semua Ahli Parlimen Warisan masih berdiri teguh menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri.
 

Post a comment

0 Comments