Populariti Tun M merudum berbanding Anwar - Penganalisis


PERSENGKETAAN
terbuka bekas Perdana Menteri terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan sokongan orang Melayu kepada Ahli Parlimen Langkawi itu semakin merosot.

Pandangan itu disuarakan Prof Dr Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berkata kaum Melayu memandang tinggi Mahathir sebelum ini, sehinggalah beliau menyatakan hasratnya untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga.

“Apabila beliau letak jawatan perdana menteri, populariti Dr Mahathir semakin merundum dan ditambah persengketaan terbuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebelum ini orang Melayu hormat beliau tetapi bila beliau masih bercita-cita mahu jadi perdana menteri untuk kali ketiga macam ada 'something wrong' (ada yang tak kena) dengan tindakan beliau.

“Saya melihat pengaruh Mahathir terhadap pengundi Melayu bukan sahaja di luar bandar tapi di bandar juga berada dalam tahap yang agak minimum,” katanya dipetik satu laporan Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi turut menegaskan bahawa tindakan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Anwar sendiri yang tegas menolak Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi sebagai tindakan tepat.

“Politik Mahathir dah sampai penghujung bila mana Anwar dan KEADILAN menolak pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri kali ketiga.

“Mungkin Mahathir ada agenda lain tak mahu Anwar jadi perdana menteri. Langkah Anwar adalah langkah tepat untuk tidak menerima Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi,” kata Rusdi.

Tambahnya, walaupun ada kesan terhadap sokongan orang melayu kepada HARAPAN susulan krisis politik yang berlaku populariti Anwar di kalangan Melayu tidak banyak perbezaan berbanding kesan dihadapi Mahathir.

“Populariti Anwar di kalangan orang Melayu masih macam dahulu cuma beliau perlu mengawal orang sekeliling beliau (supaya) jangan melampau sangat.

“Mungkin sokongan ini akan bertambah bila beliau bersama Muhyiddin dalam menangani isu Covid-19 dan ekonomi negara tanpa perlu memikirkan sangat tentang agenda Mahathir untuk merampas kembali kerajaan dari PN dan abaikan terus Mahathir kerana beliau dilihat tidak ikhlas dengan Anwar,” katanya dipetik.

Post a comment

0 Comments