Prabakaran ucap terima kasih kepada PDRM


PIHAK
polis mengklasifikasikan kes Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran yang dituduh melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) sebagai tiada tindakan lanjut.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Prabakaran melalui satu kenyataan semalam.

"Saya telah dimaklumkan oleh pihak PDRM beberapa hari lalu bahawa tangkapan ke atas saya tempoh hari berkaitan kes ingkar PKP dan mengganggu penjawat awam telah diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut (NFA)".

"Saya berterima kasih kepada pihak PDRM kerana telah menjalankan siasatan yang adil ke atas diri saya.

"Tidak lupa kepada seluruh warga di Parlimen Batu yang mendoakan kesejahteraan buat saya dan pasukan," katanya.

Pada 20 April lalu, Prabakaran ditahan polis selepas dilaporkan terlibat dengan 'pertelingkahan' dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara semasa kunjungannya di Taman Sri Murni.

BACA:
Ahli parlimen dakwa dihalau timbalan menteri

Setelah meninggalkan tempat tersebut, Prabarakan diberitahu polis bahawa mereka menerima arahan untuk membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan berada di balai polis tersebut sekitar empat hingga lima jam untuk diambil keterangan.

Beliau ketika itu menyuarakan rasa hairan dengan apa yang berlaku dan menegaskan bahawa tindakannya ke Taman Sri Murni ketika itu bagi membantu masyarakat yang tertekan dan terpinggir di kawasan PKPD sesuai dengan tangungjawabnya sebagai Ahli Parlimen.

Susulan itu, Prabakaran yang juga ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan berkata beliau mengambil sikap positif daripada kejadian itu dan akan terus berkhidmat untuk rakyat.

"Ketahuilah jika kuasa politik yang digunakan untuk menutup mulut saya tempoh hari tidak mampu menghentikan kerja-kerja kemasyarakatan saya, jadi percayalah segala cabaran dan dugaan yang diberikan itu akan memperkuatkan lagi usaha saya untuk berdiri didalam satu saf bersama warga parlimen Batu.

"Terima kasih kepada semua termasuk mereka yang bermerah mata dengan usaha ikhlas saya," katanya.

Post a comment

0 Comments