PRK Chini: Blogger cabar BN dan bekas pemimpin Bersatu


PILIHANRAYA
Raya Kecik (PRK) Chini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas termasuk bekas timbalan ketua Bersatu bahagian Pekan.

Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, bekas timbalan ketua Bersatu yang keanggotaannya dalam parti itu dibatalkan kerana bertanding sebagai calon bebas, dilihat memakai baju Melayu dengan warna merah parti itu.

Tengku Zainul Hisham yang merupakan seorang ahli perniagaan akan menggunakan simbol rumah menjadi individu pertama mengemukakan borang pencalonan tepat pukul 9.00 pagi.

Manakala calon BN, Mohd Sharim dilihat memakai baju Melayu berwarna biru. Dia mahu mempertahankan kerusi dimenangi calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Pencalonan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pekan itu disokong Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim, yang tewas kepada calon BN pada PRU-14 lalu.

Sementara itu, kedua-dua mereka akan dicabar penulis blog, Mohd Shukri Mohd Ramli yang menghantar borang pencalonan  di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang pagi tadi.

Pencalonan ketiga-tiga mereka diumumkan Pegawai pengurus pilihan raya, Zaliza Zulkipli dan disaksikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dan timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom.
 
SPR menetapkan 30 Jun sebagai tarikh pengundian awal. PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Chini mempunyai 20,900 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal. Mereka yang berusia 40 tahun ke bawah terdiri daripada 56%.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon dan parti diberi kelonggaran untuk berkempen secara berceramah, dari rumah ke rumah dan tinjauan mesra atau “walkabout”.

Tetapi, penganjur perlu memastikan pematuhan penjarakan sosial, memakai topeng, menggunakan cecair pembasmi kuman, saringan suhu badan dan pengambilan rekod kehadiran.

Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon dalam PRK tersebut memandangkan kebimbangan berhubung isu pendemik koronavirus yang belum berakhir.

Post a comment

0 Comments