PRK Chini: Pengundi digesa buat pilihan bijak


CALON dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Chini dilihat terpaksa berdepan tentangan hebat walaupun Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak meletakkan calon mereka.

Pengerusi KEADILAN Pahang, Fuziah Salleh berkata begitu sebagai mengulas pertembungan 3 penjuru antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain dan 2 calon bebas, Tengku Zainul Hisham dan Mohd Shukri.

“Buktinya ialah apabila ramai menteri terpaksa turun padang untuk membantu kempen beliau (Mohd Sharim)," jelasnya.

Mengulas lanjut, Fuziah menggesa pengundi membuat pilihan bijak dengan menolak calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) 4 Julai depan.

Memberi contoh isu bekalan air di DUN itu yang dibangkitkan penduduk Chini baru-baru ini, BN jelasnya telah gagal menangani isu rakyat di kawasan itu.

“Isu tasik Chini yang begitu tercemar sehingga ikan pun tidak boleh dimakan. Isu perlombongan tidak terkawal. Isu orang asli yang terus miskin. Terlalu banyak isu yang tidak selesai walau setelah 60 tahun BN memerintah," katanya.

33,000 penghuni isi rumah di Felda Chini dan kampung sekitar sebelum ini dilapor dihantui isu bekalan air sejak 30 tahun lalu.

Bagaimanapun kerajaan negeri Pahang diterajui BN mengumumkan pembinaan Kolam Takungan Hiliran (ORS) di muka sauk Sungai Mentiga bagi mengatasi isu tersebut.


“Saya harap penyokong HARAPAN serta ahli KEADILAN khususnya akan membuat pilihan yang tepat dalam memilih calon yang akan mewakili suara mereka di DUN itu kelak,” jelasnya.

Sementara itu, Fuziah berkata bahawa gabungan itu juga tidak membuat ketetapan supaya penyokongnya memilih calon tertentu dalam PRK itu dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi.

Walau bagaimanapun jelasnya, salah seorang calon Bebas, iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli tidak mewakili aspirasi KEADILAN kerana pernah dikenakan tindakan disiplin parti.

“Berkenaan dengan calon Bebas, HARAPAN tidak membuat ketetapan berkenaan calon mana yang harus diberi sokongan.

“Namun saya ingin menjelaskan bahawa calon Mohd Shukri tidak mewakili aspirasi dan pendirian KEADILAN kerana beliau pernah dikenakan tindakan disiplin oleh parti suatu ketika dahulu,” katanya dipetik laporan FMT.

Sebagai rekod, PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.
 

Post a comment

0 Comments