Pulau Pinang buka kembali Masjid


KERAJAAN DAP Pulau Pinang telah membuat keputusan untuk membenarkan solat fardu berjemaah, solat Jumaat, solat sunat Aidiladha dan solat jenazah bukan pesakit Covid-19 serta aktiviti kuliah di semua masjid di negeri itu dijalankan kembali.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian dan perbincangan bersama beberapa pihak berkaitan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Jabatan Mufti Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

Kesemua aktiviti keagamaan itu boleh dilaksana berkuat kuasa esok, sementara solat Jumaat bermula 26 Jun ini dan solat sunat Aidiladha pada 31 Julai.

Bagaimanapun jelas Ahmad Zakiyuddin, bilangan jemaah dibenarkan adalah mengikut keluasan ruang solat masjid dan surau, mengambil kira jarakan sosial satu meter.

Ia memandangkan usaha mengekang penularan wabak Covid-19 masih diteruskan ketika ini. 

"Jemaah berusia 71 tahun dan ke atas yang sihat boleh hadir solat tetapi tidak digalakkan manakala jemaah berusia kurang daripada 15 tahun tidak dibenarkan.

"Selain itu, jemaah yang tidak sihat tidak dibenarkan," katanya.

Bagi solat jenazah bukan pesakit Covid-19, kebenaran hanya untuk ahli keluarga si mati dan ahli kariah manakala bagi solat Jumaat mestilah tidak kurang 40 jemaah yang memenuhi syarat wajib Jumaat serta mereka berstatus warganegara Malaysia dalam kalangan ahli kariah dan orang awam.

Manakala tambahnya, aktiviti kuliah atau ceramah dibenarkan selepas solat fardu Maghrib hingga masuk waktu solat fardu Isyak setiap hari, manakala kuliah atau ceramah selepas solat fardu Subuh serta solat Asar hanya dibenarkan setiap Sabtu dan Ahad, terhad kepada 20 minit.

Ruang musafir khas juga dibenarkan untuk masjid atau surau bermula 6 pagi hingga 9.30 malam.

Tambah Ahmad Zakiyuddin lagi, kebenaran diberi tertakluk kepada perubahan arahan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa atau sehingga satu tempoh diisytiharkan keadaan kembali selamat.

"Kebenaran pelaksanaan akan ditarik balik dan dibatalkan serta-merta sekiranya didapati sebarang ketidakpatuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Post a comment

0 Comments