Putrajaya digesa agresif lindungi sektor pekerjaan


GABUNGAN
parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) mendakwa berlaku kesilapan pengiraan berhubung kadar pengangguran yang dimaklumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berhubung kenyataan DOS yang menganggarkan kadar pengangguran negara bakal melonjak 5% pada April apabila bilangan orang yang hilang pekerjaan meningkat kepada 778,800 orang atau 48.8% berbanding tahun lepas.

Memetik laporan FMT, pemimpin gabungan itu berkata terdapat kesilapan teknikal dalam angka diumumkan DOSM apabila terdapat sekurang-kurangnya 2 kumpulan yang tidak dimasukkan ke dalam pengiraan kadar pengangguran 5% itu.

Mereka berkata, kira-kira 4.9 juta orang tidak dimasukkan ke dalam kadar itu kerana standard yang digunakan oleh DOSM dan manual yang disediakan oleh Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO) mengkategorikan kumpulan itu sebagai mempunyai pekerjaan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun jelas HARAPAN, golongan itu sebenarnya tidak mempunyai jaminan akan terus dapat bekerja.

“Risiko yang perlu diperhatikan ialah, sekiranya hanya 10% daripada kumpulan pekerja ini hilang pekerjaan mereka, maka kadar pengangguran tentulah 2 kali lebih besar daripada angka April 2020 itu.” kata mereka

Sementara itu mereka mendakwa ada kira-kira 161,000 orang lagi meninggalkan kerja. mereka tidak dianggap tidak bekerja oleh DOSM dan tidak dimasukkan dalam anggaran kadar pengangguran itu.

Justeru tegas mereka, salah pengiraan itu mengisyaratkan bahawa kerajaan melunakkan keadaan di pasaran kerja.

“Kerajaan perlu menggunakan pendekatan lebih berhati-hati dengan data," tegas mereka sambil menggesa agar kerajaan bertindak lebih agresif melindungi pekerjaan sedia ada dan menyokong penciptaan pekerjaan baru.

Mereka juga mengesyorkan supaya kerajaan memperluaskan program insentif upah dan pengambilan kerja (program Malaysia@Work) yang dilancarkan oleh HARAPAN sebelum ini.

“Memperluaskan program itu untuk turut merangkumi sektor kesihatan awam dan pendidikan akan membantu mencipta pekerjaan berkualiti baru yang lebih banyak.” tegas mereka menurut laporan itu lagi.

Post a comment

0 Comments