Remaja padam Facebook lepas ugut bunuh Anwar

 
Tindakan seorang individu membuat 'ugutan bunuh' terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook dilapor ke pihak berkuasa polis.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

"Saya telah melihat satu komen live yang telah membuat ugutan jenayah terhadap Anwar, yang mana individu tersebut menyatakan ayat ugutan seperti berikut, 'Kalau Ibrahim ada. Dengan Ibrahim aku bunuh'.

"Saya memohon agar polis membuat siasatan menyeluruh terhadap pemilik akaun tersebut yang telah membuat ugutan jenayah secara terbuka terhadap Anwar," menurut laporan difailkan itu.

Semakan mendapati ugutan tersebut telah dibuat seorang remaja lelaki dalam ruangan komen satu siarang langsung disiarkan di Facebook Presiden KEADILAN itu pada Rabu.

Tindakan remaja itu yang dikongsikan ke sebuah Facebook Page terkenal dikecam warganet.

Manakala  semakan pagi tadi mendapati Facebook remaja berkenaan telah dipadamkan.

Sebagai rekod, Anwar sering mengadakan siaran langsung di laman Facebooknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Siaran langsung itu bagi berkongsi pandangan berkenaan isu politik dan semasa terutama berkaitan kepentingan rakyat.

Dalam sesi semalam, beliau antara lain menggesa kerajaan mempercepat pindaan undang-undang bagi meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk, serta menyentuh soal pengangguran susulan pandemik Covid-19.

Post a comment

0 Comments