Saman Khairul Azam terhadap Anwar tiada locus standi - Peguam


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan bagi membatalkan saman berhubung pengampunan penuh yang diberikan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kepadanya.

Permohonan itu dibuat Anwar atas alasan Khairul Azam Abdul Aziz selaku plaintif dalam saman itu tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan tersebut.

Selain tindakan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu juga dianggap remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Sementara itu, Peguam J. Leela yang mewakili Anwar berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rumaizah Baharom menetapkan 14 Ogos ini untuk pendengaran permohonan anak guamnya.

"Pendengaran permohonan Anwar selaku defendan kedua untuk membatalkan saman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad," kata peguam itu selepas pengurusan kes secara e-review semalam.

Katanya, Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris yang mewakili Lembaga Pengampunan selaku defendan pertama turut memaklumkan pihaknya juga akan memfailkan permohonan sama (untuk membatalkan saman).

Mohd Khairul Azam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates pada 26 Februari lepas dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan pertama dan kedua.
 

Post a comment

0 Comments