Selepas BoBoiBoy 2, Animonsta mahu pergi lebih jauh


SYARIKAT
penerbit filem animasi BoBoiBoy Movie 2 bangga dengan kejayaan dikecapi filem dihasilkan anak tempatan itu.

Pengarah Urusan Animonsta Studios Sdn Bhd, Nizam Razak berkata, kejayaan filem itu bergelar finalis bagi kategori Animasi 3D Terbaik dalam pertandingan berprestij New York Animation Film Awards 2020 (NYAFA) adalah pencapaiaan terbaik mereka.

"Bagi kami, bergelar finalis bagi kategori Filem Animasi 3D Terbaik sudah cukup membanggakan. Kemenangan adalah bonus, tetapi apa yang lebih penting, dapat menembusi senarai akhir anugerah berprestij dan bertaraf antarabangsa.

"Produk keluaran kami mungkin sudah dikenali di negara serantau, tetapi menjadi cita-cita melihat nama Animosta dikenali secara global.

"Dengan menyertai pelbagai festival di peringkat antarabangsa, sedikit sebanyak peserta dan penganjur mengenali serta mengetahui kewujudan produk syarikat kami. Ia seperti pemasaran untuk Animosta," kata Nizam dipetik BH Online.

Sebagai rekod, Filem tersebut berjaya mengutip RM27.7 juta selepas 26 hari ditayangkan.

Walaupun tidak menggondol sebarang trofi pada acara berprestij anjuran Cinematography Awards Foundation yang berpangkalan di New York itu, BoBoiBoy 2 pernah melakar dua anugerah di Festival Filem Laurus yang berlangsung di Rusia, baru-baru ini.

BoBoiBoy 2  turut muncul finalis bagi kategori Filem Animasi Terbaik, Festival Filem Florence, Itali.

Sementara itu, Nizam berkata pihaknya kini merancang untuk melangkah jauh lagi, mereka akan menerbitkan animasi dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Inggeris bagi memperkenalkan produk Animonsta di peringkat global seperti Anugerah Akademi atau Oscar.

"Sebelum ini, kami hanya mengalih bahasa sahaja, tetapi kali ini akan dihasilkan dua versi. Ini menunjukkan keseriusan kami dalam memasarkan produk ke peringkat antarabangsa," katanya.

Bagaimanapun jelasnya, Animonsta memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan terutamanya dari sudut pemasaran dan promosi kerana ia membabitkan kos tinggi.

"Kami kekurangan pada bahagian promosi dan pemasaran. Bukan mudah menembusi Oscar tanpa bajet besar kerana untuk muncul di majalah dan laman web terkemuka di luar negara pun memerlukan kos.

"Jadi, kami mulakan secara perlahan-lahan dengan menyertai festival lain yang mana penyertaan boleh dihantar secara atas talian. Kosnya tidak mahal, jadi kami mengambil peluang untuk perlahan-lahan membina nama di peringkat antarabanga," tambah Nizam.

Untuk rekod, BoBoiBoy2 merangkul anugerah Poster Terbaik dan Trailer Terbaik pada Festival Filem Laurus yang berlangsung baru-baru ini.
 

Post a comment

0 Comments