Shafie gesa SPRM siasat 'rasuah' lompat parti


KETUA Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mendakwa beberapa pemimpin parti Warisan Sabah (Warisan) dipujuk agar meninggalkan parti itu.

Memetik satu laporan media, Shafie berkata, seorang bekas pemimpin Umno, Anifah Aman telah menghubungi bekas menteri pelancongan, Mohamaddin Ketapi sebanyak tiga kali untuk memujuk Ahli Parlimen Lahad Datu berkenaan supaya melompat parti.

"Mohamaddin maklum kepada saya sudah dihubungi tiga kali oleh Anifah aman pujuk berbagai perkara yang sekiranya nak memasuki parti perjuangan mereka.

"Saya tanya (Mohamaddin) you sure (awak pasti)....Mohamaddin kata saya tahu suara dia, saya tahu nombor telefon dia," Dakwa Shafie.

Sebelum ini, Mohd Shafie mendakwa ada usaha termasuk dari Umno Sabah dan bekas ketua menteri Musa Aman sedang "membeli wakil rakyat" bagi menjatuhkan kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri itu.

Untuk rekod Anifah ialah adik kepada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, yang dilepas dan dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah serta pengubahan wang haram oleh mahkamah baru-baru ini.

Sementara itu dalam satu laporan lain, Mohamaddin Ketapi mengesahkan beliau pernah dipujuk oleh Anifah Aman supaya meninggalkan Warisan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan amanah rakyat dan beliau menolaknya dengan baik.

"Saya masih dengan pendirian saya dan kekal bersama Warisan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shafie menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya bertindak terhadap pihak yang cuba menyogok wakil rakyat ini.

"Saya harap agensi-agensi berkaitan seperti SPRM, ambil tindakan.

"Tawar jawatan, imbuhan wang ini rasuah untuk dapatkan sokongan," katanya .

Jelas Mohd Shafie wakil rakyat Warisan tidak akan sesekali berpaling tadah kerana maruh dan perjuangan mereka tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Post a comment

0 Comments