Situasi di Beijing dianggap sangat teruk


SEORANG
pegawai bandar di Beijing memberi amaran situasi Covid-19 di bandar itu berada dalam keadaan sangat teruk.

"Situasi epidemik di ibu kota ini sangat teruk," kata jurucakap bandar Beijing, Xu Hejian yang memberi amaran pada sidang media.

Amaran itu susulan terdapat 27 kes jangkitan baharu dilaporkan di ibu kota China berpunca daripada kluster yang mencetuskan program jejak dan ujian yang besar.

Memetik laporan AFP, kemunculan semula kes Covid-19 dipercayai bermula di pasar Xinfadi, pusat borong makanan besar di Beijing mencetuskan kebimbangan.

Kes baharu itu menjadikan angka positif jangkitan di Beijing selepas lima hari kepada 106 kes.

Ia memaksa pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung di hampir 30 komuniti di bandar dan menjalankan ujian ke atas berpuluh ribu orang.

Jurucakap di bandar itu berkata, mereka akan menjalankan ujian terhadap pemilik gerai dan pengurus di semua pasar makanan, restoran serta kantin kerajaan.

Berdasarkan laporan agensi berita Xinhua, kapasiti ujian akan diperluaskan kepada 90,000 sehari.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan terhadap kluster berkenaan dan menunding jari kepada saiz dan penyambungan Beijing

Pengurus rantaian kedai runcit Shuguoyan, Zhao Honglei, berkata perkembangan terbaru itu menyaksikan orang ramai kini takut untuk keluar rumah.

"Orang awam bimbang dengan keadaan sesak di premis atau mereka takut dijangkiti," katanya sambil menambah pesanan dalam talian mengalami peningkatan sepuluh kali ganda sejak kebelakangan ini.

Sejak 30 Mei lalu, terdapat 200,000 orang mengunjungi pasar Xinfadi yang membekalkan lebih 70 peratus buah dan sayur di Beijing.

Lebih 8,000 pekerja di pasar itu diuji dan dikuarantin.

Post a comment

0 Comments