Steven berang bil elektrik naik mendadak


SEORANG
lelaki berang apabila mendapati bil elektrik di kediamannya naik mendadak semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Memetik laporan oleh Malaysiakini, Steven, seorang penasihat pemasaran bebas berkata adalah tidak munasabah bil elektrik di rumahnya melambung dari sekitar RM500 sebulan kepada RM1,898 pada bulan Jun.

Ini jelasnya kerana beliau bekerja dari rumah yang dijadikan pejabat sejak bertahun-tahun sebelum PKP dilaksanakan pada bulan Mac.

"Rutin harian saya sama selama 10 tahun, yang bermaksud saya tinggal sendirian dan bekerja dari rumah.

"Semalam saya menerima bil TNB bagi bulan Jun sebanyak RM1898.20.

"Macam mana ini boleh berlaku sedangkan saya membuat bayaran pada bulan-bulan ketika PKP, tidak ada bezanya bagi saya sama ada PKP atau bukan PKP, kerana saya bekerja dari rumah selama bertahun-tahun," tulisnya di Twitter.

Steven menurut laporan itu turut membuat aduan mengenai perkara itu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di laman Twitter milik syarikat pembekal tenaga itu.

Sebagai rekod, banyak pihak menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kadar elektrik yang meningkat ketika PKP dilaksanakan.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu itu diselesaikan segera.

BACA: Cari jalan selesai isu lonjakan tarif elektrik, tegas Anwar

Sementara itu tambah Steven, beliau ada dihubungi oleh TNB sebanyak dua kali melalui media sosial, bagaimanapun mereka hanya memberitahu bagaimana caj itu dikira.

"Pada pandangan saya, mereka mengatakan seperti itu. Anda harus membayarnya. Jika tidak, elektrik akan dipotong.

Dua kakitangan TNB juga datang ke apartmennya hari ini di mana mereka memeriksa meter elektrik di rumahnya sebelum mengatakan ia berada dalam keadaan baik.

Steven berkata, beliau sekali lagi diberi penjelasan bagaimana bil itu dikira dan disaran mendapatkan kontraktor bagi memeriksa peralatan elektrik di dalam rumah.

"Ini tetap menjadi teka-teki bagaimana bil bulan Jun naik hampir 4 kali ganda menjadi hampir RM1.9k," katanya dipetik.

Post a comment

0 Comments