Strategi tawar jawatan akan lemahkan kerajaan


LANGKAH
menawarkan jawatan tertentu bagi mendapatkan sokongan untuk membentuk kerajaan tidak menjamin kedudukan seseorang pemimpin itu mampu bertahan dalam jangka panjang.

Seorang penganalisis politik Dr Mazlan Ali ketika mengulas strategi seperti itu berkata, ia bukan sahaja meletakkan kedudukan seseorang pemimpin itu rapuh, malah dibimbangi bakal melahirkan budaya politik ugut-mengugut antara pihak terlibat.

"Strategi ini mungkin akan gagal, kerana menawarkan jawatan akan melahirkan kecenderungan seseorang ahli parlimen memeras ugut perdana menteri dan lebih banyak aktiviti tawar-menawar akan berlaku.

"Ia akan menyebabkan lebih banyak tawar-menawar akan berlaku untuk mendapatkan imbuhan yangg lebih lumayan.

"Dalam aspek politik, strategi ini akan wujudkan persaingan antara parti-parti dalam PN bagi meraih kedudukan yang lebih kukuh," katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu sebelumnya mengulas isu rakaman audio yang didakwa mirip suara presiden Bersatu, Muhyiddin Yasin yang tular baru-baru ini.

Individu dalam rakaman itu  “memberi galakan” kepada pemimpin parti itu untuk mengajak ahli parlimen Umno akan bergabung dengan Bersatu dan memberi gambaran bersedia berbincang sekiranya mereka ada tawaran tertentu.

Sebagai rekod, kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin telah melantik lebih daripada tiga belas anggota parlimen dari parti komponen gabungan itu sebagai pengerusi GLC, agensi kerajaan dan jawatan diplomatik yang baru diwujudkan.

Sementara itu Mazlan menegaskan, sekiranya rakaman audio tersebut benar, ia akan memberi imej tidak baik kepada kepimpinan Muhyiddin dimata masyarakat sivil, Presiden Bersatu itu juga tegasnya akan  berdepan kesukaran berdepan dengan kesukaran untuk mengawal ahli-ahli parlimen PN yang tidak ditawarkan jawatan kerana mempunyai kes di mahkamah.

Pendapat serupa disuarakan Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Rusdi Omar.

Memetik laporan portal serupa, Dr Rusdi berkata beliau kurang bersetuju dengan strategi politik seperti itu dan ia tidak akan bertahan lama.

Dr Rusdi Omar | Pic- Google
"Dalam jangka masa pendek beliau boleh survive (bertahan) dengan berikan jawatan-jawatan kepada ahli parlimen tetapi ia tidak akan kekal.

"Strategi dengan memberi jawatan tertentu tidak memberi jaminan mereka itu akan terus bersama beliau," kata dekan di Ghazali Shafie Graduate School of Government UUM.

Selain itu tambahnya, sekiranya apa yang terkandung dalam rakaman audia itu benar, pendekatan digunakan Muhyiddin hanya menggambarkan kelemahan kerajaan PN.

"Keadaan itu mungkin wujudkan ketidakstabilan kerajaan, menunjukkan kepada pembangkang bahawa kedudukan beliau lemah," katanya dipetik.
 

Post a comment

0 Comments