Tawar jawatan bukti PN berpaut di dahan rapuh


GABUNGAN
politik Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin Yassin diibarat "berpaut di dahan rapuh".

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian susulan tindakan  melantik semua anggota parlimen kerajaan persekutuan yang tidak dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri bagi mempengerusikan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tindakan tersebut tegas Anwar telah memperlihatkan betapa pentadbiran PN sendiri tidak mempunyai asas yang kuat.

Lebih membimbangkan tegas Anwar, tindakan yang dilihat sebagai 'penganugerahan jawatan demi sokongan' itu menunjukkan satu budaya yang sangat tidak sihat dan membimbangkan.

"Kita lihat GLC, hampir semuanya diambil tokoh-tokoh politik atau anggota parlimen.

"Tokoh-tokoh politik itu jadi barang jual beli, tidak pertahankan prinsip tetapi siapa yang ada hutang, siapa jadi menteri, siapa yang ada pangkat GLC dia boleh berubah kiblat.

"Umpamanya satu budaya yang sangat tidak sihat. Ini yang kita rasa bimbang. Ini kerana pemerintahan pentadbiran PN sangat lemah dan terpaksa berpaut kepada dahan yang sangat rapuh," katanya dalam siaran langsung di Facebook.

Mengulas lanjut berkenaan lantikan ahli politik dalam GLC,  Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dickson berkata tidak semua wakil rakyat PN yang dilantik itu mempunyai kemampuan atau kelayakan dalam agensi disertai mereka.

"Bayangkan, tak semua anggota Parlimen mampu dalam bidang tersebut, melainkan dipilih dengan kelayakan masing-masing untuk mewakil rakyat mereka

"Ada tempat yang sesuai dan ada tempat yang tak sesuai. Tetapi tak akanlah dalam jutaan rakyat yang punyai kelayakan, profesionalisma itu hanya anggota parlimen yang layak," katanya.
 

Post a comment

0 Comments