Tiada wakil: Pertemuan semalam bukan rasmi - Saifuddin


KETUA Setiausaha Majlis Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Saifuddin Nasution menjawab persoalan ketiadaan wakil KEADILAN dalam pertemuan beberapa pemimpin dengan bekas pengerusi gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohammad semalam.

Menurut Saifuddin, pertemuan beberapa pemimpin termasuk Presiden Warisan, Shafie Apdal di Yayasan Al- Bukhary, Kuala Lumpur berkenaan adalah pertemuan tidak rasmi.

"Pertemuan petang tadi tidak rasmi. Jadi, KEADILAN tidak ambil bahagian kerana kami sibuk dengan tugas masing-masing.

"Kami kekal kukuh. Mereka berhak berjumpa sesiapa sahaja demi kepentingan bersama HARAPAN. Kami hormat dan mengambil kira pandangan semua orang," kata Saifuddin.

Sebelumnya, gambar pertemuan tersebut tular di media sosial, selain Dr Mahathir dan Shafie turut kelihatan ialah timbalan presiden Bersatu yang dipertikaikan Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung parti itu yang turut juga dipertikaikan, Marzuki Yahaya.

Pertemuan pemimpin HARAPAN malam tadi
Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke turut berada dalam pertemuan itu.

Sementara itu, Saifuddin yang setiausaha agung KEADILAN mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan satu pertemuan dengan Mohamad Sabu, Lim serta Anthony Loke pada sebelah malamnya.

"Pertemuan ini adalah untuk mengulangi komitmen untuk bersama mengukuhkan HARAPAN dalam membuat setiap keputusan dan tindakan politik," katanya.

Anwar difahamkan turut mengadakan pertemuan dengan Shafie pada pagi semalam, bagaimanapun butiran pertemuan tidak diketahui.

Post a comment

0 Comments