Tindakan keluar parti tak 'calarkan' KEADILAN


TINDAKAN
beberapa pemimpin termasuk ahli Parlimen, Adun dan ahli majlis keluar dari parti KEADILAN tidak memeranjatkan.

Profesor Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, semua ahli parti yang mengumumkan meninggalkan parti itu dalam tempoh beberapa bulan ono sememangnya dikenali sebagai penyokong Mohamed Azmin Ali.

Memetik laporan FMT, Profesor Madya di Jabatan Sosiobudaya itu berkata bahawa kumpulan itu hanya menuruti langkah pemimpin mereka dan mungkin telah dirancang lebih awal.

“Masih ada beberapa orang lagi yang menunggu masa sesuai untuk keluar," katanya yang turut merujuk tindakan ADUN Selangor, Daroyah Alwi keluar parti baru-baru ini.

Sementara itu, ketika mengulas apakan kesan tindakan tersebut (keluar parti) kepada KEADILAN, Awang Azman berkata ia sama sekali tidak memberi kesan kepada KEADILAN atau Pakatan Harapan (HARAPAN).

Penganlisis politik itu juga melihat, ia tidak akan memberi kesan berkurangnya kepercayaan parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah katanya,  kekosongan ditinggalkan pemimpin berkenaan akan memberi peluang untuk pemimpin baru yang lebih berkebolehan mengisi tempat pemimpin yang 'khianat' itu.

“Parti komponen HARAPAN tentu tahu tentang kehadiran pemimpin yang akan berusaha mensabotaj atau memperlekeh Anwar kerana kepentingan mereka sendiri.

“Ia adalah suatu bentuk pembersihan dalam KEADILAN yang akan memperkuat akar umbi parti itu, selain membuka peluang kepada ahli yang lebih setia, berbakat dan berkebolehan menjadi lebih aktif bagi mengisi ruang yang wujud,” katanya.
  
Selain Daroyah, Ahli Parlimen Lubok Antu dan bekas naib presiden KEADILAN, Jugah Muyang juga keluar parti, sekali gus mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Jugah Muyang dilapor menyertai KEADILAN sebaik HARAPAN mengambil alih Putrajaya melalui mandat diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Wanita KEADILAN Selangor minggu lalu, mereka memberitahu bahawa tindakan Daroyah keluar parti sememangnya telah dijangka.

Dalam satu kenyataan bersama ditandantangani ADUN wanita dari parti itu dan disertai 18 Ketua Wanita Cabang di Selangor, mereka berikrar untuk terus mempertahankan mandat diberikan rakyat kepada HARAPAN.

Kenyataan yang turut ditandatangani dua ADUN yang dilihat rapat dengan Azmin itu  menyuarakan tekad untuk terus mara sebagai satu sayap bagi mendepani semua isu wanita dan mengangkat martabatnya selaras dengan semangat yang sama sejak era reformasi.

Bagaimanapun, seorang lagi ADUN wanita yang dikaitkan dengan Azmin,  Haniza Talha (Lembah Jaya) tidak disenaraikan dalam kenyataan tersebut.


Selang beberapa jam selepas Daroyah bertindak keluar parti, Azmin yang dianggap dalang dalam 'Langkah Sheraton' mengucapkan tahniah kepada ADUN Sementa itu.
 

“Syabas Daroyah Alwi! Ayuh kita teruskan perjuangan dan cita-cita tulen demi membela nasib rakyat,” katanya di Twitter .

Post a comment

0 Comments