Tun M perlu berlapang dada, beri laluan pada Anwar


ANGKATAN
Muda KEADILAN (AMK) negeri Kelantan menggesa isu calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) diselesaikan segera.

Ketuanya, Muhd Hafiz Muhd Kasasi berkata, sudah sampai masanya untuk Tun Dr Mahathir Mohammad berkorban selaku negarawan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat menerajui pentadbiran negara.

"Justeru kami menyokong sepenuhnya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

"Kami berharap agar Dr Mahathir selaku seorang negarawan bekorban memberi laluan kepada Anwar.

"Ini bertujuan bagi memastikan semangat setiakawan antara rakan-rakan HARAPAN dapat digarap dan mengekalkan prinsip idealisma perjuangan reformasi itu sendiri," katanya.

Dua kombinasi

Sejak Selasa lalu, isu berkenaan calon perdana menteri menarik perhatian ramai. Keputusan mesyuarat yang dijalankan seminggu sebelumnya tidak diumumkan susulan Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Sarawak.

Walaupun isu dalam mesyuarat itu cuba diselindung, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke pula tampil mendedahkan bahawa gabungan itu meneroka dua kombinasi pilihan bagi jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Kombinasi pertama yang didakwa dipersetujui HARAPAN melibatkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.

Sementara kombinasi kedua dicadangkan selepas parti Warisan kurang bersetuju dengan cadangan pertama ialah Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri.
 
Anwar bagaimanapun pada Rabu tampil membuat  permohonan maaf terbuka kerana belum dapat memuktamadkan isu tersebut.

Tegasnya pelbagai aspek mengenai prinsip reformasi untuk kepedulian terhadap masalah rakyat, mengembalikan keyakinan pelabur dan menjana semula ekonomi negara perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenainya diumumkan.

Sementara tindakan mencalonkan Mahathir sekali lagi untuk dilantik sebagai perdana menteri dibantah banyak pihak susulan Anwar juga dilihat calon layak dan terbaik bagi mewakili gabungan itu kini.

Malah pertubuhan pro-Anwar mempersoalkan apakah sekiranya Mahathir diberi peluang sekali lagi sebagai perdana menteri, beliau tidak akan melakukan kesilapan serupa sekiranya diangkat menjadi perdana menteri sekali lagi.  
 
"Oleh itu seharusnya kita terus melangkah demi kebaikan rakyat untuk memacu negara ke arah yang lebih baik," tegas Muhd Hafiz bagi mewajarkan mengapa Anwar sewajarnya dicalonkan sebagai perdana menteri.

Post a comment

0 Comments