Tun M mesti berundur, Anwar pula pimpin negara


DUA
ahli akademik memberi pandangan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kini telah kehilangan 'sengat' politiknya.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya turut mengakui bahawa Dr Mahathir melakukan beberapa kesilapan politik yang akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Febuari lalu.

Antara kesilapan itu adalah tindakan beliau melepaskan jawatan perdana menteri dan kelewatan Mahathir menyerahkan kuasanya kepada penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

“Mahathir juga perlu meninggalkan warisan politik yang kelihatan lebih ikhlas dengan memberi laluan kepada Anwar, bukan bersaing dengannya selepas permusuhan politik selama bertahun-tahun.” kata mereka merujuk kepada tindakan yang sewajarnya dilakukan Ahli Parlimen Langkawi itu.

Mengulas situasi politik semasa, kedua-dua mereka berkata walaupun Mahathir masih mempunyai sokongan dan mampu menarik ahli Parlimen ke gabungan itu, beliau seharusnya kekal di latar belakang. 

Mereka akui Anwar perlu ada kewibawaan
Anwar Ibrahim pula jelas mereka perlu keluar daripada bayangan Dr Mahathir Mohamad, walaupun kedua-duanya saling memerlukan untuk blok pembangkang mendapatkan semula kuasa di Putrajaya.

“Saya rasa hubungan Mahathir dengan HARAPAN perlu dikurangkan…saya tidak rasa ia adalah idea baik untuk memberi peranan lebih penting dalam HARAPAN kepada Tun.

"Selagi HARAPAN masih bergantung kepada pengaruh Mahathir, persoalan siapa perdana menteri pilihan tidak akan selesai, sama seperti ketika HARAPAN berada dalam kerajaan.”

Awang Azman berkata, Anwar berhak mendapat kepercayaan untuk meraih majoriti mudah di Parlimen, manakala Mahathir perlu berusaha memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kemampuan HARAPAN dalam menambah baik ekonomi serta pentadbiran kerajaan.

Selasa lalu, Anwar mempengerusikan mesyuarat yang jarang diadakan dengan Mahathir dan pemimpin Warisan yang disifatkan sebagai perbincangan “komprehensif” antara mereka, termasuk pilihan perdana menteri gabungan berkenaan.

Keputusan mengenai hasil mesyuarat itu dijangka akan diumumkan esok.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin dari parti Bersatu, dilihat berkeras dan cuba menghalakan keputusan untuk Mahathir sekali lagi menjadi perdana menteri.

Maszlee Malik dalam satu laporan berkata, HARAPAN akan kekal sebagai gabungan pembangkang selama-lamanya jika ia mengetepikan Mahathir.

Bagaimanapun, Awang Azman tidak bersetuju dengan Maszlee dan mahu pemimpin membuang mentaliti hanya Mahathir mampu mendapatkan sokongan meraih majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Katanya, karisma dan sikap sederhana Anwar akan memainkan peranan penting dalam menyatukan gabungan itu dan memastikan ia kekal dalam “medan tengah” politik.

Post a comment

0 Comments