Warganet kritik cadangan Kedah naik harga tiket feri


BELUM
sampai sebulan Perikatan Nasional (PN) megambil pentadbiran Kedah dari Pakatan Harapan (HARAPAN), kerajaan negeri itu bercadang untuk menaikkan harga tiket feri ke Langkawi.

Menurut exco pengangkutan Kedah Azman Nasrudin, pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berhubung kenaikan harga tiket itu, dan kini hanya menunggu persetujuan kabinet.

Pihak kerajaan negeri itu juga jelasnya sangat berharap kenaikan itu diluluskan.

"Jadi kali ini kita sangat berharap Kabinet akan membuat keputusan yang baik bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada penumpang dan juga pengusaha feri Langkawi untuk kelangsungan syarikat," katanya Azman di Wisma Darul Aman, seperti dipetik BH Online.

ADUN Lunas itu yang mengumumkan keluar dari KEADILAN bagi menyokong pembentukan kerajaan PN Kedah turut mendakwa kadar dikenakan pengusaha feri Langkawi sebagai termurah buat masa ini.

Sebagai rekod ketika ini harga tiket perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi ditetapkan pada kadar  RM23 sehala, manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi RM18 sehala.

Sementara itu, tinjauan di laman Facebook Malaysiakini mendapati sebilangan warganet membidas idea menaikkan harga perkhidmatan tersebut.

Antara kritikan terhadap cadangan tersebut
Mereka beranggapan langkah tersebut hanya memberi keuntungan kepada satu pihak sahaja dan akan membebankan penumpang terutama mereka yang berulang alik dari Langkawi ke tanah besar untuk bekerja.

Dalam keadaan pelancong tak ada dia nak naikkan tambang. Akhirnya yang terbeban adalah warga sekitar," kata Khairul Anuar Zamburi.

Pandangan Khairul itu disambut Jailani Noordin yang menegaskan bahawa cadangan tersebut bukan cara untuk selesaikan masalah yang timbul.

Segelintir warganet pula menyifatkan bahawa pentadbiran kerajaan Kedah ketika diperintah HARAPAN lebih perihatin terhadap kebajikan rakyat sebelum membuat apa-apa keputusan.

Laa macam-macam hal pulak kerajaan baru kedah ni. Yang lama ok jer. Kesian org kedah dan langkawi," kata Azman Ismail.

Terdahulu, kerajaan Kedah sebelum ini dikritik berhubung cadangan membuka semula kawasan pembalakan, aktiviti yang dihentikan kerajaan sebelumnya di Kedah bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar.

 

Post a comment

0 Comments