16 kes baru dilaporkan, 7 di Sarawak

                                                                            
ENAM belas kes baru berkaitan koronavirus (Covid-19) dilaporkan sepanjang tempoh 24 jam sehingga 12 tengahari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 8 daripada 16 kes baru ialah kes import yang masing-masing membabitkan 4 warganegara dan warga asing manakala 8 lagi adalah kes penularan tempatan.

“Lapan kes import itu dari India (2 kes), Rusia (2 kes), Arab Saudi (1 kes), China (1 kes), Indonesia (1 kes) dan Korea (1 kes).” jelasnya.

Sementara itu, baki 8 kes jangkitan tempatan membabitkan seorang warga asing yang dikesan ketika menjalani saringan untuk berlepas ke luar negara.
https://t.me/kartelmedia
Beliau berkata, pesakit itu tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk dirawat.

Dr Noor Hisham turut memberitahu 7 lagi kes membabitkan rakyat tempatan dari Sarawak, iaitu 3 kes kluster Stutong, satu kes kluster Sentosa, satu kes kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Melbourne, satu kes kontak rapat, iaitu ahli keluarga kepada pesakit Covid-19.

“Satu lagi kes saringan kembali bertugas di sekolah. Beliau tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak," jelasnya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memberitahu bahawa 4 pesakit telah dilapor sembuh hari ini menjadikan 8,566 daripada keseluruhan 8,831 pesakit Covid-19 di Malaysia sudah sembuh.

Manakala jumlah kes aktif terus meningkat daripada 130 orang semalam kepada 142 pesakit yang sedang dirawat di seluruh negara setakat ini.

Daripada jumlah itu, lima pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan seorang memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kematian dilaporkan hari ini.
 

Post a comment

0 Comments