Anwar gesa Ahli Parlimen pertahan Ariff dan Nga


DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin pembangkang akan bersatu untuk menentang usul Dewan Rakyat untuk menyingkirkan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker Nga Kor Ming yang dijadualkan hari ini.

Anwar yang dipetik satu laporan media semalam berkata semua blok telah memutuskan untuk menentang usul itu bagaimanapun beliau turut menggesa Ahli Parlimen lain untuk turut serta dalam mempertahankan speaker dan timbalan speaker sekarang.

"Ini adalah masalah prinsip dan kedaulatan undang-undang, ini tidak pernah terjadi dalam sejarah Komanwel dan juga sejarah negara kita sebelumnya.

"Pelantikan hanya dibuat apabila ada kekosongan atau spekaer mengundurkan diri.

“Dalam kes ini, prestasi Ariff terpuji dari segi reformasi. Sama sekali tidak ada asas untuk berusaha mengubah pertengahan jalan.

“Oleh itu, saya meminta ahli parlimen selain dari HARAPAN yang tegas dan pembangkang yang telah memberikan komitmen untuk berdiri teguh untuk mempertimbangkan hal ini untuk melindungi kedaulatan parlimen dan juga kepentingan nasional untuk menyokong Speaker Ariff dan Timbalan Speaker Nga," katanya dipetik.

Usul bagi menyingkirkan Mohamad Ariff dan Nga dikemuka Muhyiddin Yassin. Usul ini dilihat sebagai kayu ukur untuk menguji sokongan terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat.

Selain usaha menyingkirkan kedua mereka, Muhyiddin turut memfailkan usul mengangkat bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun sebagai Speaker dan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said sebagai timbalannya.

 

Post a comment

0 Comments