Anwar persilakan golongan 'terbabas' keluar parti


SIKAP kejar kuasa telah menyebabkan ramai pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) terutama dari KEADILAN “tergelincir daripada landasan”, tegas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap di Konvensyen Penerangan KEADILAN di Ampang semalam, Anwar mengingatkan pemimpin parti tersebut supaya 'membersihkan diri' dengan terus memegang prinsip dibawakan parti tersebut yang meletakkan prinsip keadilan dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

“Kita hadapi ujian di peringkat awal adalah kerana kita dah mula pegang tampuk kekuasaan. banyak kecuaian. Cara kita menilai hilang, tergelincir dari landasan.

“Kita tak boleh bicara soal ekonomi tanpa keadilan. Tak boleh bicara keadilan kalau kayakan anak-pinak.

“Bila kita ada kuasa, bibit sama menimpa kita. Ini maknanya kita tak istiqamah,” katanya.
https://t.me/kartelmedia
Tanpa menyebut nama mana-mana individu, kenyataan Anwar itu dipercayai merujuk kumpulan bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

Pada akhir Febuari lalu, kumpulan itu  mengumumkan keluar parti dan membentuk kerajaan baru di bawah Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, Umno-BN, PAS dan parti dari Malaysia Timur.

Susulan insiden dikenali sebagai 'Langkah Sheraton' itu, beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan Azmin turut dipecat atau dikenakan tindakan.

Sebahagian mereka turut mengumumkan meninggalkan parti tersebut dengan alasan kononnya hilang keyakinan terhadap Anwar.

Bagaimanapun jelas Anwar, situasi itu tidak melemahkan parti pimpinannya, sebaliknya ia hanya akan memperkukuh lagi prinsip dibawa parti tersebut.

Anwar secara peribadi turut berkata 'bersedia membuka pintu' untuk golongan tergelincir daripada landasan untuk meninggalkan parti tersebut.

“Sebaik tergelincir, kita bukan lagi dalam agenda keadilan. Sebab itu kalau orang nak keluar, silakan keluar,” katanya.

Mengulas masa depan pemimpin yang mengkhianati parti tersebut, Anwar membayangkan bahawa masa depan politik mereka telah berakhir.

“Orang-orang terlibat pun tak tahu dekat mana nak bertanding. Kalau jumpa saya pun banyak senyum sekarang, bukan nak marah dah,” katanya lagi.


 

Post a comment

0 Comments