Apa signifikan Parlimen Digital?


ULASAN | Parlimen Digital merupakan usaha sekumpulan anak muda untuk menghimpunkan seramai 222 belia bagi mewakili kawasan parlimen masing-masing dari seluruh Malaysia. Program ini telah dianjurkan pada hari Sabtu dan Ahad lalu secara persidangan atas talian dan telah mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

Ramai yang memberikan pujian kerana mereka berjaya mengadakan sidang parlimen atas talian walaupun negara masih berperang melawan Covid-19. Tidak kurang juga ada netizen yang menyoalkan mengapa parlimen Malaysia mengelak daripada bersidang dengan menjadikan wabak Covid-19 sebagai alasan.

https://t.me/kartelmedia
Kejayaan anak-anak muda menjayakan sidang parlimen atas talian ini jelas membuktikan bahawa tiada apa yang boleh menghalang jika ada keinginan dan usaha. Kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya malu kerana mereka memilih untuk mengabaikan institusi parlimen sepanjang pandemik ini.

Perbahasan ahli-ahli Parlimen Digital telah menyentuh beberapa topik berkenaan belia. Anak muda wajar diberikan ruang untuk berbincang secara umum khususnya berkisar kepentingan mereka.

Masa depan belia adalah masa depan negara. Belia merupakan golongan yang akan mencorak negara pada masa hadapan. Jadi, mengapa perlu kekang hak bersuara mereka?

Untuk rekod, beberapa peserta Parlimen Digital dilapor telah dipanggil hadir ke balai polis untuk disoal siasat tanpa nasihat peguam, manakala ada yang diundang untuk perbincangan secara santai.

Polis tak panggil peserta Parlimen Digital untuk disoal, kata Hamid

Pihak penganjur telah menerangkan bahawa kesemua 222 peserta yang dipilih adalah berdasarkan prestasi peribadi mereka dan tiada pertimbangan politik diambil kira.

Program ini merupakan satu ruang yang selamat bagi para belia untuk membahaskan isu-isu mendesak yang melibatkan dan mempengaruhi golongan belia selain daripada untuk mengemukakan idea-idea mereka untuk kemajuan Malaysia yang lebih baik tanpa mengira latar belakang.

Kejayaan persidangan Parlimen Digital ini membuktikan bahawa persidangan Dewan Rakyat sememangnya boleh diadakan tanpa kehadiran anggota parlimen khususnya ketika wabak Covid-19.

Selain itu, kejayaan Parlimen Digital ini juga adalah sangat signifikan sebagai persediaan untuk pindaan perlembagaan berkaitan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun bakal berkuat kuasa tahun depan. Program ini sekali gus membantu meningkatkan kecelikan para belia terhadap isu-isu yang amat penting bagi masa depan mereka.

Nasib golongan belia tidak wajar dibiarkan begitu sahaja. Mereka patut diberi ruang dan peluang untuk meningkatkan kematangan dan kebolehan mereka di arena berpengaruh seperti Parlimen.

Hal ini kerana, golongan belia hari ini akan menjadi pemimpin negara 10 tahun yang akan datang. Jadi mengapa perlu disekat hak bersuara mereka?

Perlembagaan Malaysia sendiri telah menjamin kebebasan bersuara bagi setiap warganegaranya.

Oleh Camelia K

Tulisan ini telah disiarkan beberapa portal berita tempatan dan dan ia tidak mencerminkan pendirian rasmi Kartel.

Post a comment

0 Comments